Canon tanam 200 pokok bakau untuk kelestarian alam sekitar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Canon tanam 200 pokok bakau untuk kelestarian alam sekitar

Seramai 36 kakitangan Canon menyertai kempen One Canon One Tree dalam usaha memulihkan hutan bakau di Sungai Tembus, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jun - Canon Marketing Malaysia melancarkan kempen 'One Canon One Tree' di Sungai Tembus, Pulau Pinang yang bertujuan untuk memulihara keindahan alam semula jadi dan menyokong matlamat kerajaan  menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

 

Menerusi kerjasama Projek Shorebirds Peninsular Malaysia (SPMP) dan Unit Nelayan Sungai Tembus, Canon menanam 200 pokok bakau untuk menggalakkan pemuliharaan ekologi dan biodiversiti sambil memperingati Hari Alam Sekitar Sedunia - #BeatPlasticPollution.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Shunji Yoshikai berkata, melalui inisiatif tersebut, pihaknya secara aktif mengamalkan 'Kyosei' dengan menyumbang kepada masyarakat yang mampan dan menggalakkan penjagaan alam sekitar. 

 

"Dengan melibatkan diri dalam inisiatif melindungi alam sekitar semula jadi dan memupuk biodiversiti, kami bercita-cita untuk menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam mewujudkan dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang," katanya dalam kenyataan.

 

Selama bertahun-tahun, syarikat itu telah menanam lebih 8,000 pokok, termasuk 511 pokok yang ditetapkan sebagai bank makanan untuk tapir yang dipulihkan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar Sungai Dusun di Selangor.

 

Ketua Canon Marketing Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Daren Tan pula berkata, matlamat pihaknya menyokong nelayan tempatan dan meningkatkan kehidupan mereka, yang merangkumi memerangi perubahan iklim dan menjaga warisan semula jadi.

 

"Usaha ini amat bermakna kerana kami menyumbang kepada pemeliharaan hutan bakau dan menyahut seruan untuk menyokong dan mengiktiraf inisiatif akar umbi yang melindungi alam semula jadi kita. 

 

 

canon

 

 

canon

 

 

"Kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang 'Important Bird and Biodiversity Areas (IBAs)' dan peranan pentingnya dalam mengekalkan keseimbangan ekologi di Pulau Pinang dan seluruh negara," katanya.

 

 

canon

 

 

Berikutan permulaan One Canon One Tree di Sungai Tembus, kempen itu akan diperluas ke seluruh Malaysia, dengan program penanaman pokok akan datang di Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Kuantan dan Lembah Klang. - DagangNews.com