CAGR sektor perbankan dijangka tumbuh 11% pada 2021 hingga 2023  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CAGR sektor perbankan dijangka tumbuh 11% pada 2021 hingga 2023 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Margin faedah bersih bank-bank tempatan dijangka mengalami sedikit tekanan disebabkan persaingan deposit dan skop terhad bagi pengembangan Akaun Semasa Akaun Simpanan (CASA).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, selain itu pertumbuhan pinjaman dijangka meningkat seiring dengan pembukaan semula ekonomi. 

 

"Secara berasingan, nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) berkemungkinan meningkat tetapi kami tidak terlalu bimbang kerana bank telah membuat peruntukan awalan yang berat pada FY20.

 

"Tambahan pula, kami percaya kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menyokong dalam membantu peminjam yang bermasalah, mengehadkan kemerosotan ketara dalam nisbah GIL," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Tambahnya, keputusan suku ketiga tahun kewangan 2021 (3Q21) adalah musim pelaporan yang lebih baik daripada jangkaan di mana 4 daripada 8 bank di bawah tinjauannya mengatasi anggaran keuntungan.

 

Menurutnya, Affin, Alliance, CIMB menyaksikan peruntukan kerugian pinjaman yang lebih rendah daripada jangkaan manakala RHB menempah jumlah pendapatan yang lebih kukuh daripada jangkaan dan AMMB, BIMB, Maybank, Public Bank menepati sasaran.

 

"Pendapatan sektor 3Q21 merosot 6% disebabkan oleh pendapatan bukan faedah (NOII) yang lemah yang turun 3% bersama-sama dengan penguncupan 5bp dalam NIM. 

 

"Walau bagaimanapun, kecuali Maybank, peruntukan yang lebih rendah untuk pinjaman lapuk (-17%) membantu mengurangkan kesan keseluruhan.

 

"Kami perhatikan peningkatan keuntungan untuk Affin, Alliance dan AMMB disebabkan terutamanya oleh faktor ini manakala RHB mengalami pertumbuhan jumlah pendapatan yang lebih kukuh," katanya.

 

Firma penganalisis itu berkata, selepas beberapa semakan keuntungan pada musim pelaporan ini, pihaknya kini mengunjurkan pendapatan agregat 2 tahun kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR)  sebanyak 11.0% (CY21-23) untuk sektor tersebut.  -DagangNews.com