Cagamas muktamad penetapan sukuk bernilai RM300 juta untuk membiayai pembelian rumah daripada sistem kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cagamas muktamad penetapan sukuk bernilai RM300 juta untuk membiayai pembelian rumah daripada sistem kewangan

KUALA LUMPUR 13 April - Cagamas Berhad mengumumkan penetapan harga Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) Kadar Keuntungan Terapung satu tahun bernilai RM300 juta yang akan digunakan untuk membiayai pembelian rumah daripada sistem kewangan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas, Datuk Chung Chee Leong berkata, kejayaan memuktamadkan IMTN syarikat itu mewakili usaha berterusannya dalam membangunkan pasaran modal dalam pesisir melalui penerbitan struktur yang pelbagai.

 

Pada masa sama ia memenuhi keperluan pasaran dalam persekitaran kadar faedah semasa yang menyumbang secara positif kepada kedalaman dan keluasan pasaran sukuk domestik.

 

"Urus niaga itu menandakan IMTN pertama dengan mekanisme kadar terapung sejak Jun 2014, menarik pelabur dengan menyediakan pulangan yang berpotensi lebih tinggi.

 

"Harga IMTN berjaya ditetapkan melalui penempatan persendirian pada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) tiga bulan yang sepadan atau bersamaan 2.12% berdasarkan penetapan KLIBOR pada tarikh penetapan harga.

 

"Terbitan baharu itu menjadikan terbitan agregat syarikat untuk tahun ini kepada RM5.6 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

IMTN itu akan ditebus pada nilai nominal penuh apabila matang, adalah obligasi tidak bercagar syarikat, pada kedudukan sama rata (ranking pari passu) dengan semua obligasi tidak bercagar sedia ada lain syarikat berkenaan. - DagangNews.com