Bursa Malaysia tingkatkan kemampanan dalam cadangan pindaan keperluan penyenaraian Pasaran Utama, ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia tingkatkan kemampanan dalam cadangan pindaan keperluan penyenaraian Pasaran Utama, ACE

KUALA LUMPUR 23 Mac - Bursa Malaysia Securities Bhd. mengeluarkan kertas perundingan awam berhubung cadangan pindaan terhadap Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE yang bertujuan meningkatkan amalan kemampanan dan pendedahan penerbit yang tersenarai.

 

Sejak pelancaran Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan pada 2015, ia telah menyaksikan banyak penambahbaikan dalam kalangan penerbit tersenarai.

 

Bagaimanapun, memandangkan landskap kemampanan global telah berkembang dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bursa Malaysia mengakui keperluan untuk meningkatkan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan bagi memastikan ia terus relevan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan yang dipertingkatkan akan berfungsi sebagai pendorong kepada penerbit tersenarai untuk melaksanakan amalan terbaik antarabangsa dan merealisasikan aspirasi nasional menjadi pasaran modal terkemuka bagi
kemampanan di rantau ini.

 

Katanya, bagi Pasaran Utama, bursa bercadang meminta pendedahan mengenai hal-hal kemampanan yang ditetapkan dan penunjuk yang diakui penting kepada penerbit tersenarai merentasi semua sektor.

 

“Turut sama penting adalah keperluan segera untuk menerapkan dan menguruskan risiko dan peluang berkaitan perubahan iklim yang berkesan agar berjaya beralih kepada dunia berkarbon rendah. 

 

"Memerangi impak perubahan iklim bukan sahaja dapat memperkukuh daya tahan perniagaan penerbit tersenarai kami, malah, akan turut merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi neutral seawal 2050.

 

“Sehubungan itu, bursa mencadangkan semua penerbit tersenarai untuk menyediakan pendedahan berkaitan perubahan iklim, seiring dengan syor Pendedahan Kewangan berkaitan Iklim (TCFD),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bursa Malaysia turut mencadangkan, sewajarnya, amalan kemampanan dan pendedahan syarikat tersenarai di Pasaran ACE diperkukuh agar setanding dengan Pasaran Utama.

 

Dalam hal ini, menurut beliau, pihak bursa menyarankan syarikat tersenarai di Pasaran ACE mendedahkan maklumat kemampanan yang ditetapkan pada masa ini untuk penerbit tersenarai di Pasaran Utama, serta cadangan hal-hal kemampanan bersama, maklumat kuantitatif yang dipertingkatkan dan penyataan jaminan.

 

“Selain itu, bursa turut mencadangkan pendedahan rancangan asas untuk memudahkan syarikat tersenarai di Pasaran ACE mempertimbangkan risiko dan peluang perubahan iklim apabila beralih ke arah ekonomi berkarbon rendah,” katanya. - DagangNews.com