KUALA LUMPUR 8 Mac - Goodyear tidak hanya menutup kilang di Malaysia tetapi hal yang sama turut dilakukan pengeluar tayar antarabangsa itu ke atas beberapa kilangnya di Eropah.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, penutupan kilang di Shah Alam adalah sebahagian daripada langkah pengurangan kos yang diambil Goodyear.
Kata beliau, ini disebabkan syarikat itu menyasarkan pengurangan kos sehingga AS$1 bilion setahun (RM4.7 bilion) menjelang tahun 2025.
"Goodyear juga bakal menutup dua kilang tayar di Jerman, melibatkan 1,750 pekerja. Sebuah kilang tayar di United Kingdom (UK) juga bakal ditutup.
"Jadi, bukan operasi di Malaysia sahaja, malah operasi Goodyear di seluruh dunia juga turut terjejas," katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Tambah beliau, dari dulu hingga sekarang, sentiasa ada syarikat yang gulung tikar dan syarikat baru yang dibuka.
Sambil menzahirkan simpati kepada pekerja Goodyear Malaysia susulan penutupan kilang di Shah Alam, beliau berkata, cabaran sekarang ialah untuk memastikan lebih banyak pelaburan masuk ke Malaysia daripada pelaburan keluar.
ARTIKEL BERKAITAN: Goodyear Malaysia tutup kilang di Shah Alam, lebih 500 pekerja bakal diberhentikan
Katanya, pengumuman pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lalu, yang tertinggi dalam sejarah, merupakan petanda keyakinan pelabur kepada ekonomi Malaysia.
"Sebanyak 5,310 projek telah diluluskan dan bakal menjana hampir 130,000 pekerjaan.
"Dalam sektor pembuatan sahaja, 63%, daripada pelaburan diluluskan adalah daripada perniagaan sedia ada yang mengembangkan operasi mereka.
"Ini menunjukkan keyakinan yang kukuh daripada syarikat-syarikat ini terhadap kestabilan ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia," katanya.
Berhubung nasib 550 pekerja Goodyear Malaysia yang hilang kerja, Tengku Zafrul berkata, kebajikan warga kilang tayar itu adalah keutamaan kementeriannya.
"Goodyear telah memberi jaminan akan beri pampasan lebih tinggi daripada yang ditetapkan di bawah undang-undang.
"Syarikat juga sedang bekerjasama dengan Proton dan beberapa syarikat lain untuk menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai.
"Paling penting, semua usaha ini telah mula dilaksanakan sebelum pengumuman penutupan kilang dibuat untuk memastikan proses peralihan bagi para pekerja berjalan lancar," jelasnya.
Kata Tengku Zafrul, MITI dan agensinya MIDA, telah menggerakkan pasukan khusus melibatkan PERKESO dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Pemudahcara Invest Malaysia untuk memudahkan penempatan pekerjaan, serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula. - DagangNews.com








