KUALA LUMPUR 12 Julai - BSA The Software Alliance hari ini mengumumkan pelancaran talian bantuan untuk membantu perniagaan dalam industri kejuruteraan, infrastruktur dan pembinaan di Malaysia menangani cabaran berkaitan pematuhan hak cipta perisian.
Talian ini dilancarkan berikutan laporan tentang 'ghost piracy' di Malaysia dan di rantau ini yang semakin meningkat dalam industri yang disebutkan ini selepas berlakunya pandemik. Talian bantuan BSA yang sama turut dilancarkan di Indonesia, Filipina dan Thailand.
Pengarah Kanan BSA, Tarun Sawney berkata, mereka melancarkan talian bantuan itu disebabkan perisian yang asli dan berlesen merupakan barisan pertahanan yang pertama dalam keselamatan siber.
Beliau berkata, BSA mahu membantu seberapa banyak organisasi yang boleh untuk menyedari manfaat menggunakan perisian yang berlesen.
"Perisian tanpa lesen adalah tidak selamat. Malah apabila para profesional membuat rekaan infrastruktur awam, kelalaian disebabkan penggunaan perisian yang salah bukanlah sebab yang boleh diterima.
"Demi keselamatan awam dan negara, hanya perisian yang selamat, terjamin dan berlesen yang patut digunakan dalam projek reka bentuk binaan dan kejuruteraan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BSA melihat talian bantuan itu sebagai salah satu alat untuk memastikan perisian berlesen dipatuhi. Talian tersebut memberi kemudahan kepada pemberi maklumat untuk melaporkan kejadian ketidakpatuhan perisian tanpa takut tentang akibat.

Pihak berkuasa di Malaysia dan Thailand telah dapat mengesan aktiviti ghost piracy di kedua-dua buah negara dengan bantuan pemberi maklumat dan aduan oleh pekerja syarikat.
Istilah ghost piracy yang menerangkan tentang tindakan mengakses perisian tanpa lesen secara jarak jauh, telah menjadi semakin berleluasa dalam kalangan profesional reka bentuk yang bekerja secara jarak jauh dari rumah mereka untuk projek-projek reka bentuk kejuruteraan, pembinaan dan animasi.
Awal bulan Jun, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menjalankan serbuan yang ke-9 yang menyasarkan aktiviti ghost piracy.
Serbuan telah dilakukan terhadap sebuah firma rekaan dalaman dan sebuah syarikat mereka dan membina di Kedah serta syarikat-syarikat dalam industri pembuatan, kejuruteraan jitu dan pembinaan. Perisian tanpa lesen dengan jumlah nilai sebanyak RM657,975 (AS$150,000) termasuk V-Ray, perisian berkeupayaan 3D untuk grafik komputer, telah ditemui dipasang semasa serbuan ini.
Para profesional yang bekerja dalam industri reka bentuk digalakkan untuk menghubungi +60 11-3109 7827 bagi mengetahui lebih lanjut tentang proses yang boleh diambil oleh firma mereka untuk menambah baik pematuhan lesen perisian. - DagangNews.com








