BPMB tetapkan harga sukuk wakalah RM1 bilion bagi memperkukuh komitmen pembangunan mampan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BPMB tetapkan harga sukuk wakalah RM1 bilion bagi memperkukuh komitmen pembangunan mampan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov - Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menetapkan harga nota kewangan Islam jangka sederhana (IMTN) Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bernilai RM1 bilion, di bawah prinsip Syariah Wakalah bi al-Istithmar (SDG Sukuk Wakalah).

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, BPMB berkata SDG Sukuk Wakalah bertaraf AAA itu, yang bakal diterbitkan pada 1 Disember 2023, mempamerkan komitmen tidak berbelah bahagi institusi berkenaan terhadap kewangan yang mampan dan pelaburan bertanggungjawab.

 

Menurut BPMB, harga SDG Sukuk Wakalah telah ditetapkan pada 22 November 2023, melalui proses penetapan harga dengan nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) sebanyak 2.43 kali, disokong oleh firma pengurusan aset, bank, dana berkaitan kerajaan dan syarikat insurans/takaful.

 

Jelasnya, lelongan awam itu memastikan ketelusan harga penuh, menyumbang kepada pengetatan penetapan harga dan akhirnya mengukuhkan kejayaan penerbitan SDG Sukuk Wakalah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BPMB, Roni Abdul Wahab berkata penerbitan yang berjaya ini mengukuhkan lagi komitmen insitutisi itu terhadap kewangan yang mampan.

 

 

Roni Abdul Wahab
Roni Abdul Wahab

 

 

“Sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI), tumpuan kami adalah untuk menyampaikan modal impak bagi menyokong pembangunan strategik dan mampan negara.

 

“Di BPMB kami mengutamakan projek yang sejajar dengan matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terpilih dengan menggunakan rangka kerja pengukuran kesan terhadap pembangunan negara (MIND), dibangunkan bersama World Bank Group yang membolehkan kami menilai kesan sosioekonomi dan alam sekitar dalam setiap projek,” ujar beliau.

 

Pengurus utama bersama untuk SDG Sukuk Wakalah ialah AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank Berhad dan RHB Investment Bank Berhad.  - DagangNews.com