KUALA LUMPUR 16 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun unjuran hasil Berjaya Food Berhad (BFood) kesan daripada tekanan tukaran mata wang asing (forex) dan tindakan boikot pengguna terhadap Starbucks yang jelas memberi kesan negatif kepada hasil kumpulan itu.
Kumpulan itu melaporkan keuntungan yang lebih rendah daripada jangkaan bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24), pada kos yang lebih tinggi daripada jangkaan akibat tekanan inflasi dan forex yang tidak menguntungkan.
Starbucks membentuk 91% daripada pendapatan kumpulan untuk suku itu, diikuti oleh Kenny Rogers Roasters (6%) dan Jollibean Singapura (2%).
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) 64 sen sesaham selepas mengurangkan andaian hasil dan kos, bagi ramalan tahun kewangan 2024 dan 2025 sebanyak 8% dan 9%.
"Walaupun kumpulan itu sudah berusaha mengoptimumkan kos namun keadaan kekal mencabar dengan situasi forex yang tidak menguntungkan kerana 55% daripada kos minuman adalah menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS).
"Pihak pengurusan juga menjangkakan pertumbuhan hasil akan terus terhalang oleh persepsi orang ramai disebabkan konflik Israel-Palestin," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu bagi 1QFY24 merosot kepada RM19.03 juta berbanding RM34.7 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan sebelumnya. Pendapatan susut kepada RM278.53 juta daripada RM283.05 juta sebelumnya.
Penurunan marginal pendapatan adalah disebabkan jualan lebih rendah oleh operasi Kenny Rogers Roasters di Malaysia, manakala untung bersih lebih rendah disebabkan pengecilan margin daripada tekanan kos inflasi.
BFood membuka 12 cawangan Starbucks baharu dengan satu kedai khas, Starbucks Island Glade di Pulau Pinang, yang menggunakan mesin kopi Starbucks Oviso terkini, pada suku pertama FY24.
BFood merancang membuka antara 40 hingga 45 kedai baharu di seluruh Malaysia.
Paris Baguette melancarkan satu kedai baharu di Genting Skyworlds dan setakat ini, prestasinya adalah mengikut jangkaan.- DagangNews.com








