KUALA LUMPUR 24 Okt - Kumpulan Fokus PKS (SFG) di bawah Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) yang dipengerusikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan UOB Malaysia, melancarkan portal pemula alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), yang dikenali sebagai ‘ESG Jumpstart’ untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
ESG Jumpstart adalah portal maklumat sehenti, dibangunkan khusus oleh SFG untuk meningkatkan kemahiran serta melengkapkan PKS tempatan menerima amalan ESG.
Portal itu menyediakan panduan rujukan mudah dan praktikal bagi PKS dan mengandungi cadangan tindakan yang boleh diambil PKS untuk menambahkan pengetahuan dan keupayaan asas ESG mereka, serta mengenal pasti dan bertindak balas terhadap isu, risiko dan peluang utama ESG.
Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, Kumpulan Fokus PKS JC3 bersama dengan BNM, sukacita melancarkan portal ESG Jumpstart yang akan memperkasakan PKS mengamalkan kemampanan.
Katanya, dengan menggabungkan pengetahuan dan pembiayaan, dua teras utama ke arah masa hadapan yang mampan, berharap ini akan menggalakkan lebih banyak PKS mengambil langkah peralihan ini.
"Kami menggalakkan PKS agar memanfaatkan portal ini dan memulakan perjalanan transformatif bagi membuka peluang kemampanan secepat yang mungkin.
"Portal ESG Jumpstart menandakan permulaan usaha Kumpulan Fokus PKS. Sebagai pengerusi bersama, kami akan terus memacu kerjasama yang mantap bagi membantu PKS Malaysia kukuhkan daya saing mereka dalam rantaian bekalan global apabila dunia beralih ke arah kemampanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagi menyokong akses pembiayaan yang lebih luas kepada PKS, UOB Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam skim jaminan portfolio berjumlah RM1 bilion daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia (CGC) untuk pembiayaan ESG.
Jaminan ini bertujuan mempercepatkan lagi inisiatif pembiayaan ESG diterajui industri oleh institusi kewangan tempatan pada masa hadapan.
JC3, yang dipengerusikan bersama oleh BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, adalah platform yang ditubuhkan untuk meneruskan tindakan kerjasama bagi membina daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.
SFG telah ditubuhkan di bawah JC3 untuk menangani cabaran yang dihadapi PKS, termasuk kurang kesedaran dan pengetahuan tentang risiko perubahan iklim, kekangan kewangan untuk mengamalkan dan melabur dalam inisiatif atau teknologi berkaitan hijau.
Ia termasuk serta sokongan, bimbingan dan ekosistem kawal selia yang tidak mencukupi untuk menggalakkan peralihan hijau mereka. Ianya terdiri dari ahli-ahli industri kewangan termasuk bank dan syarikat penanggung insurans. - DagangNews.com








