KUALA LUMPUR 20 Jan - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan seketika kitaran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini mencerminkan nada berhati-hati bank pusat itu terhadap prospek ekonomi akan datang, demikian menurut CGS-CIMB Research.
Semalam, BNM membuat keputusan mengekalkan kadar faedah itu pada 2.75% setelah menyaksikan kenaikan sehingga 100 mata asas (asas) sepanjang 2022 daripada paras terendah 1.75% akibat pandemik COVID-19.
Keputusan OPR itu membolehkan MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa dasar monetari terhadap ekonomi.
Penganalisisnya, Nazmi Idrus berkata, keputusan BNM itu membayangkan pandangan berhati-hati untuk bergerak ke hadapan ekoran beberapa ketidaktentuan.
Antaranya, pendirian bank pusat utama yang semakin 'dovish' di peringkat global, Bajet 2023 yang akan dibentangkan Februari ini dan pembukaan semula China pada 8 Januari lalu.
"Dalam hal ini, BNM mungkin mahu melihat beberapa perkara dengan lebih jelas sebelum membuat keputusan seterusnya.
"Namun, kami berpendapat hala tuju dasar monetari masih menunjukkan aliran kenaikan dengan kadar ini mungkin dinaikkan pada separuh kedua 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.

Baca : BNM kekalkan OPR pada 2.75%, atasi jangkaan penganalisis
Mengulas lebih lanjut, jelasnya, Bajet 2023 mungkin tidak memberikan banyak perkara yang jelas dari segi keputusan berhubung cukai dan subsidi baharu kerana kerajaan mungkin menangguhkan pengumuman yang bersifat negatif sehingga pilihan raya negeri (yang akan diadakan selewat-lewatnya Jun 2023).
Di samping itu, persekitaran global yang lebih lemah beberapa bulan lagi akan mengubah naratif BNM menjadi lebih 'dovish' sehingga ekonomi global mula pulih.
"Oleh itu, kami mengambil pendirian mengekalkan jangkaan kenaikan OPR pada 3.25% menjelang akhir tahun ini, iaitu kenaikan 50 bps pada separuh kedua," tambahnya.
Nazmi juga mendapati keputusan yang dibuat BNM semalam bukanlah kali pertama berlaku, dengan memberi contoh ketika krisis kewangan global pada 2008.
Katanya, selepas pemotongan 150 bps di tengah-tengah krisis kewangan global itu, bank pusat menaikkan kadar itu tiga kali sebanyak 25 bps pada 2010 kepada 2.75%.
"Tetapi, ia berhenti seketika selama tujuh bulan di tengah-tengah kebimbangan mengenai eksport yang perlahan sebelum menaikkan semula kadar ini dua kali sebanyak 25 bps selepas itu.
"Situasi semasa ini mempunyai persamaan yang luar biasa dengan peristiwa pada 2010, dengan permintaan dalam negeri diunjurkan menunjukkan daya tahan di tengah-tengah persekitaran permintaan luar yang lebih lemah," jelasnya.
Menurut beliau, persoalannya kini adalah tindakan seterusnya yang akan diambil bank pusat susulan pandangan berhati-hatinya terhadap prospek ekonomi.
"Semasa taklimat BNM dengan penganalisis, bank pusat menekankan bahawa ia 'belum selesai' menaikkan kadar faedah dan keputusan untuk menghentikan seketika kenaikan ini adalah untuk 'menilai kesan pelarasan kumulatif OPR pada masa lalu'," katanya.
Daripada perspektif firma itu, Nazmi berkata, kenyataan MPC semalam bagaimanapun dilihat agak neutral.
"Ini kerana jika dibandingkan dengan kenyataan yang dikeluarkan pada 3 November 2022, kami melihat bahawa pandangan BNM terhadap inflasi global telah beralih sedikit lebih optimistik memandangkan 'inflasi utama global menjadi sederhana sedikit'," menurutnya.
Dalam kenyataan semalam, bank pusat berkata, langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Dengan itu, MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan. - DagangNews.com








