KUALA LUMPUR 3 Sept. - Bank Negara Malaysia (BNM) disaran untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) lagi untuk memastikan pemulihan ekonomi memasuki suku keempat 2021 (4Q21) dan tahun hadapan berjalan lancar.
Bagi Ahli Ekonomi di OCBC Bank, Wellian Wiranto, dasar monetari yang bersesuaian mampu memberi sokongan ketika ruangan fiskal negara mulai meruncing.
Beliau tidak menolak kemungkinan baki Belanjawan 2021 berpotensi mencecah serendah -7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jurang yang terbesar dicatatkan sejak 2009.

“Bersama-sama dengan pertumbuhan KDNK yang lebih rendah daripada jangkaan, ini akan menolak nisbah hutang berkanun kepada KDNK melebihi 60% menjelang penghujung tahun ini.
“Walaupun kerajaan mungkin meletakkan nisbah yang lebih tinggi, sebagai contoh, 65% daripada KDNK, ini bagaimanapun tidak memberi ruang (fiskal) yang banyak, walaupun kami menjangkakan Belanjawan 2022 lebih tinggi,” jelas beliau seperti dilaporkan New Straits Times.
BNM dijangka mendedahkan keputusan dasar monetari menjelang 9 September ini.
Kali terakhir BNM membuat keputusan untuk menurunkan OPR adalah pada Julai 2020, yang menyaksikan pemotongan 25 bps kepada 1.75%, dan masih dikekalkan setakat Julai 2021.
Tambah Wiranto, perjumpaan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) di BNM menjelang 9 September ini diadakan ketika sentimen pasaran global muncul dengan baik, di samping Pengerusi Perbendaharaan Rizab Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell mengambil tindakan yang bersesuaian berhubung dasar monetari di negara itu.
“Lonjakan ringgit baru-baru ini mungkin menunjukkan bahawa tahap kebimbangan yang rendah terhadap impak mata wang, yang berpotensi disebabkan oleh penurunan kadar faedah,” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com








