Bintulu Port catat untung bersih RM23.75 juta dalam 2QFY23, isytihar dividen 3 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintulu Port catat untung bersih RM23.75 juta dalam 2QFY23, isytihar dividen 3 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Bintulu Port Holdings Berhad telah mencatatkan keuntungan bersih RM23.75 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), meningkat 6.5% daripada RM22.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan merosot 9.2% kepada RM176 juta berbanding RM194 juta sebelumnya, sementara pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 5.16 sen pada suku tersebut daripada 4.85 sen.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3 sen sesaham yang akan dibayar pada 5 Oktober 2023.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Bintulu Port berkata pendapatan perkhidmatan pelabuhan Bintulu merosot 9.37% kepada RM131.80 juta dalam 2QFY23 daripada RM145.43 juta yang dicapai pada suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22), manakala pendapatan pelabuhan perindustrian Samalaju menurun 12.45% kepada RM34.55 juta berbanding RM39.47 juta sebelumnya.

 

Namun, pendapatan kemudahan pukal melaporkan peningkatan 7.61% dalam 2QFY23 kepada RM9.97 juta berbanding RM9.27 juta tahun lalu.

 

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), Bintulu Port melaporkan keuntungan bersih RM46.2 juta, jatuh 27% daripada RM63.4 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatannya merosot 7% kepada RM364 juta berbanding RM392 juta tahun lalu.

 

Mengulas mengenai prospek FY23, Bintulu Port berkata ia kekal berhati-hati terhadap risiko penurunan yang muncul daripada penurunan eksport.

 

“Kumpulan kekal berhati-hati terhadap risiko penurunan berikutan eksport menurun akibat pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, yang menyebabkan permintaan luaran lemah.

 

“Walaupun begitu, kumpulan menjangkakan pengendalian kargo LNG akan menyumbang secara positif kepada pendapatan, disokong oleh pengendalian minyak sawit dan kargo Samalaju,” katanya.

 

Saham Bintulu Port ditutup tidak berubah pada RM5.15 dengan permodalan pasaran bernilai RM2.37 bilion. - DagangNews.com