Bintai Kinden dilantik pengedar sah produk Wolff bagi pasaran O&G | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden dilantik pengedar sah produk Wolff bagi pasaran O&G

Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Jun - Bintai Kinden Corp. Bhd. menerusi unitnya, Bintai Energy Sdn. Bhd. dilantik sebagai pengedar sah produk paip Wolff Pipelines Ltd. bagi tempoh selama 2 tahun bermula 1 Jun 2022.

 

Ia menerima surat pelantikan eksklusif daripada Wolff untuk stok dan pembekalan paip keluli tahan karat dan karbon, bebibir dan kelengkapan mengikut piawaian Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk pasaran minyak dan gas (O&G) di Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, pelantikan itu akan meningkatkan lagi penawaran produk syarikat dan membolehkannya menyertai lebih banyak tender dalam industri O&G.

 

Katanya, produk Wolff juga dikenali dengan kawalan kualiti yang ketat dan bukan sahaja digunakan secara meluas dalam sektor O&G.

 

Azri Azerai
Azri Azerai

 

 

"Sebaliknya, ia turut digunakan dalam sektor petrokimia, farmaseutikal, kimia, loji janakuasa, perkapalan dan industri pemprosesan makanan. 

 

"Produk syarikat ini dikeluarkan di bawah sistem pengurusan kualiti ISO 9001 dan diiktiraf sebilangan pengguna akhir," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Wolff yang berpangkalan di United Kingdom (UK) ialah pengeluar paip serta tiub lancar dan dikimpal berkualiti yang telah menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor O&G dengan menyediakan perkhidmatan kepada kontraktor kejuruteraan, perolehan dan pembinaan, serta membekalkan pengedar dan syarikat perdagangan dengan produk paip berkualiti.

 

Pelantikan itu adalah selaras dengan Perjanjian Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dimeterai antara Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh kumpulan, dengan Petro Flanges & Fittings Sdn. Bhd. (PFF).

 

Ia menyaksikan Bintai Energy adalah SPV yang untuk digunakan untuk membekalkan bahan kepada pemain industri O&G, terutamanya kelengkapan paip dan/atau sebarang peralatan lain yang berkaitan dengan industri O&G di dalam dan di peringkat antarabangsa melalui saluran pengedaran PFF.

 

Kerjasama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham terbitan dan berbayar Bintai Kinden tetapi dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa depan kumpulan.

 

Sementara itu, pemilik Wolff, Shaun Melvyn Wilson yakin dengan kerjasama tersebut dan juga pasaran O&G di negara ini. - DagangNews.com