Bintai Kinden cadang laksana penempatan persendirian, jana hasil RM7.44 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bintai Kinden cadang laksana penempatan persendirian, jana hasil RM7.44 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Jan - Bintai Kinden Corp Bhd. bercadang melaksanakan penempatan persendirian yang dijangka mengumpul hasil kasar sebanyak RM7.44 juta. 

 

Langkah itu membabitkan 85.31 juta saham baharu, yang mewakili tidak lebih 10% daripada jumlah terbitan saham biasa Bintai, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Menerusi cadangan berkenaan, pelabur bebas pihak ketiga akan dikenal pasti dengan harga terbitan akan ditentukan kemudian. 

 

Tertakluk kepada keadaan pasaran semasa dan bergantung kepada minat pelabur pada peringkat pelaksanaan, cadangan itu boleh dilaksanakan dalam satu atau beberapa tranche dalam tempoh enam bulan dari tarikh kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

"Daripada jumlah hasil yang dikumpul itu, sebanyak RM4 juta akan digunakan untuk pembayaran balik overdraft bank manakala RM3.14 juta sebagai keperluan modal kerja dan RM300,000 bagi perbelanjaan penempatan persendirian," katanya.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. dilantik sebagai ejen penempatan bagi melaksanakan langkah tersebut.

 

Setakat 21 Disember 2022, Bintai mempunyai modal terbitan sebanyak RM209.43 juta merangkumi 853.14 juta saham.

 

Menurut Bintai, langkah itu dilaksanakan bagi membolehkan kumpulan mempunyai modal tambahan dengan cara yang pantas berikutan tempoh mencabar dan tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan dan ketidaktentuan geopolitik di seluruh dunia.

 

"Oleh itu, lembaga pengarah berpendapat kumpulan akan dapat mengumpul dana dengan lebih cepat dan pada kos efektif melalui pelaksanaan penempatan persendirian berbanding terbitan prorata sekuriti seperti pelaksanaan terbitan hak," jelasnya. - DagangNews.com