Bintai Kinden bentuk usaha sama dengan PFF, manfaatkan pemulihan sektor O&G | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden bentuk usaha sama dengan PFF, manfaatkan pemulihan sektor O&G

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai (tengah) dalam majlis memeterai perjanjian usaha sama dengan Petro Flanges & Fittings Sdn. Bhd., hari ini.

KUALA LUMPUR 25 Mac – Bintai Kinden Corp. Bhd. membentuk usaha sama dengan Petro Flanges & Fittings Sdn. Bhd. (PFF) untuk membekalkan bahan dan peralatan kepada industri minyak & gas (O&G) di peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk Asia Barat menerusi saluran pengedaran PFF.

 

Kedua-dua syarikat itu menubuhkan usaha sama 51:49, Bintai Energy Sdn. Bhd. untuk memanfaatkan pemulihan industri O&G yang dijangkakan apabila pelaburan modal meningkat di dalam dan luar negara sebagai tindak balas kepada masalah tenaga dan komoditi global.

 

Ia menyaksikan Bintai Kinden hari ini menerusi unit milik penuhnya, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. (KBK) memeterai perjanjian pemegangan saham dan syarikat tujuan khas (SPV) dengan PFF bagi kerjasama strategik itu. 

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, usaha sama itu berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi permintaan terhadap bahan dan peralatan 0&G disokong peningkatan aktiviti bagi menangani jurang permintaan dan bekalan dalam sektor tersebut. 

 

Katanya, ketidaktentuan tenaga baru-baru ini yang meningkat berikutan pandemik COVID-19 dan peralihan karbon bersih sifar global menunjukkan bahawa O&G kekal sebagai komponen penting dalam landskap tenaga dan pembuatan global.

 

"Bintai Kinden dan PFF masing-masing membawa pengalaman dalam operasi kami untuk memanfaatkan peningkatan industri, dan melengkapkan pertumbuhan pendapatan sedia ada dalam syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Di bawah perjanjian SPV, KBK, yang mengkhusus dalam perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik, bertanggungjawab untuk menguruskan Bintai Energy, serta menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk usaha niaga itu.

 

PFF pula akan mengendalikan kerja-kerja pemasaran untuk Bintai Energy, memanfaatkan pengalamannya dalam perdagangan di loji industri medan minyak, pembinaan kapal dan industri rawatan air.

 

Perjanjian itu tidak memberi kesan ke atas modal saham terbitan dan berbayar Bintai Kinden tetapi dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa hadapan kumpulan. - DagangNews.com