Bimbang risiko stagflasi jejaskan permintaan hartanah, AmInvestment kekal pandangan 'neutral' | DagangNews Skip to main content

Bimbang risiko stagflasi jejaskan permintaan hartanah, AmInvestment kekal pandangan 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 15 Mac - Konflik Rusia-Ukraine dibimbangi mencetuskan risiko stagflasi memandangkan harga komoditi terus melonjak di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan yang masih berpanjangan. 

 

Keadaan stagflasi merujuk kepada situasi termasuk pertumbuhan ekonomi perlahan dan kadar inflasi tinggi bagi tempoh yang lama.

 

Menurut AmInvestment Bank Research, keadaan ini boleh memberi tekanan kepada permintaan hartanah selain menaikkan kos pembinaan dan menekan margin keuntungan pembangunan. 

 

"Risiko geopolitik yang tercetus daripada konflik Rusia-Ukraine berkemungkinan meningkatkan kebimbangan inflasi dan kemelesetan, mengakibatkan pendapatan boleh guna yang lebih rendah di tengah-tengah kadar pengangguran tinggi.

 

"Di bawah persekitaran semasa yang tidak menentu, bakal pembeli rumah mungkin menggunakan pendekatan tunggu dan lihat yang boleh menekan permintaan kediaman dan menyebabkan harga rumah menjadi tidak stabil," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Ini mendorong firma itu mengulangi pandangan 'neutral' terhadap sektor hartanah yang turut disebabkan kebimbangan bank untuk memberi pembiayaan hartanah. 

 

"Bank sebenarnya masih kekal berhati-hati dalam pemberian pinjaman perumahan seperti yang ditunjukkan dalam nisbah pinjaman yang digunakan/diluluskan yang rendah sebanyak 35% pada 2020-2021 berbanding 51% hingga 53% semasa kitaran aliran menaik antara 2011 hingga 2014," jelasnya.

 

 

BNM

 

 

Pada masa sama, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kemungkinan 1 atau 2 kali pada separuh kedua 2022 dengan setiap kenaikan 25 mata asas.

 

Tindakan itu dilihat bagi mengekalkan perbezaan kadar faedah antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia sekitar 175 hingga 225 mata asas.

 

"Kenaikan kadar ini boleh memberi impak negatif kepada sentimen pengguna dan kuasa beli, sekali gus menjejaskan keseluruhan permintaan bagi hartanah.

 

"Namun begitu, kami percaya impaknya kekal terurus kerana OPR berkemungkinan kekal rendah berbanding tahap sebelum pandemik COVID-19," katanya.

 

Bagaimanapun, AmInvestment berkata, terdapat beberapa petanda yang menggalakkan daripada pemaju di bawah liputannya.

 

Antaranya, termasuklah pengecualian cukai keuntungan hartanah (RPGT) bagi jualan rumah bermula tahun keenam pembelian (sebelum itu dikenakan cukai 5%) di bawah Bajet 2022.

 

Selain itu, terdapat aktiviti perbankan tanah yang aktif di kawasan utama dengan infrastruktur awam yang baik dan ketersambungan ke pusat bandar Kuala Lumpur.

 

Meninjau prestasi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, terdapat 2 syarikat hartanah memenuhi jangkaan, 3 di bawah prestasi manakala 2 mencatat prestasi terbaik.

 

"Kecuali UEM Sunrise Bhd., kebanyakan pemaju kembali mencatat untung bagi bagi tahun kewangan 2021 (FY21), mencatatkan peningkatan dalam keuntungan mereka berikutan kelonggaran langkah sekatan di bawah Pelan Pemulihan Negara pada suku keempat," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan jumlah transaksi hartanah akan kembali pulih secara berperingkat terutama dalam segmen kediaman.

 

"Ini didorong pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini dan penyambungan semula perdagangan dan perjalanan antarabangsa memandangkan kemampuan serantau yang relatif bagi pembangunan Malaysia, walaupun kriteria yang lebih ketat untuk program Malaysia Rumah Keduaku," katanya. - DagangNews.com