KUALA LUMPUR 4 Ogos - Berjaya Land Bhd secara kategorikal dan dengan tegas menafikan semua tuduhan yang tidak berasas yang baru-baru ini tersiar dalam media dan platform media sosial berkenaan dengan projek Gerbang Maritim Selangor (Projek SMG).
Berjaya Land berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 2 Ogos 2023 semasa acara yang dipanggil "Jelajah Mega PN Best/PN BEST Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour" menyampaikan ucapan kepada orang awam dalam acara tersebut.
Katanya, pihaknya mendapati bahawa ucapan MB mengandungi kenyataan yang jelas palsu, tidak benar, tidak berasas, tidak disahkan, berniat jahat dan berniat mengelirukan yang dibuat terhadap syarikat, secara langsung dan/atau tidak langsung berkaitan dengan Projek SMG.
"Berjaya Land berpendapat bahawa Ucapan MB adalah bermotifkan politik, memfitnah, dan direka untuk memburukkan nama baik Berjaya Land mahupun Kerajaan Negeri Selangor dengan menyiratkan urus niaga yang meragukan oleh kedua-dua pihak berkaitan dengan Projek SMG.
"Tuduhan-tuduhan ini, yang kami kategorikan sebagai memfitnah, palsu, berniat jahat, dan sama sekali tidak berasas, telah dibuat oleh Muhammad Sanusi. Dengan serius, kami menangani tuduhan-tuduhan ini untuk membersihkan nama baik dan reputasi Berjaya Land," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Berjaya Land, pihaknya mendapati bahawa ucapan yang dipertikaikan mengandungi kenyataan yang jelasnya palsu, tidak benar, tidak berasas, tidak disahkan, berniat jahat dan berniat mengelirukan yang dibuat terhadap dirinya sendiri, secara langsung dan/atau tidak langsung berkaitan dengan Projek SMG.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Land, Syed Ali Shahul Hameed, pihaknya merasakan adalah penting untuk menetapkan fakta dengan tepat dan maklumat yang telah disahkan.
"Objektif kami adalah untuk membetulkan sebarang kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan serta memastikan bahawa kebenaran diiktiraf melalui penjelasan seperti berikut," katanya.
Sementara itu, Berjaya Land menawarkan penjelasan mengenai fakta sebenar berkenaan Projek SMG dan bahawa kenyataan yang berkaitan dalam ucapan MB adalah sama sekali tidak benar dan palsu, khusus tetapi tidak terhad kepada perkara berikut;
Penjelasan mengenai kenyataan palsu dan memfitnah yang dibuat dalam ucapan MB
(i) Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) menjual 55% saham dalam anak syarikat sepenuhnya miliknya kepada Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya (Jualan yang Dikatakan).
Penjelasan mengenai fakta sebenar
I. Tiada jualan yang dikatakan seperti itu.
II. Sebenarnya, sebuah syarikat tujuan khas melalui usaha sama (JVCo) antara anak syarikat MBI, Landasan Lumayan Sdn Bhd (45%) dan Berjaya Hartanah Berhad (55%) yang dikenali sebagai Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) telah dibentuk untuk, antara lain, membersihkan dan membangunkan Sungai Klang.
III. JVCo/LLBSB memacu pembangunan hartanah, dengan tumpuan khusus kepada projek perumahan mampu dibeli, sebagai satu mekanisme penjanaan dana berterusan untuk mengekalkan usaha pembersihan sungai yang penting ini di bawah Projek SMG.
IV. Inisiatif Projek SMG ini telah berjaya mendapat pengiktirafan daripada Green World Awards 2023 di atas segala usaha-usaha yang dijalankan untuk membersihkan Sungai Klang.
V. Projek SMG untuk pemulihan Sungai Klang dilihat mula membuahkan hasil apabila kualiti air sungai bertambah baik daripada kelas 4 kepada kelas 2 sekarang.
(ii) Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya diberikan 600 ekar tanah negeri Selangor bernilai RM10 bilion secara percuma.
Penjelasan mengenai fakta sebenar
I. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak pernah mendapatkan atau diberikan tanah seluas 600 ekar bernilai RM10 bilion.
II. Sebenarnya, hanya beberapa bidang tanah yang berjumlah seluas 103.6 ekar telah diluluskan pemilikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada JV Co/LLBSB setelah tanah-tanah tersebut didapati bersesuian untuk pembangunan.
III. Berjaya Land adalah pihak yang dikehendaki untuk mengumpulkan dana untuk membayar premium bagi pemindahan hak milik tanah tersebut berdasarkan kadar pasaran.
(iii) Negeri Selangor mengalami kerugian sebanyak RM180 juta kerana terlibat dalam JVCo dengan Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya dan/atau memberikan 600 ekar tanah kepada Berjaya dan/atau syarikat berkaitannya secara percuma.
Penjelasan mengenai Fakta Sebenar
I. Berjaya Land dan/atau syarikat berkaitannya tidak mendapatkan tanah 600 ekar secara percuma.
II. Negeri Selangor tidak mengalami kerugian RM180 juta dari tanah yang diberikan secara "percuma".
III. Hanya 103.6 ekar tanah yang diluluskan pemilikan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada JVCo/LLBSB di mana 45% saham di dalam syarikat LLBSB tersebut adalah dipegang dan dimiliki oleh anak syarikat MBI.
IV. JVCo tersebut juga akan menjelaskan bayaran premium tanah sebanyak RM113.1 juta mengikut nilai pasaran semasa yang ditentukan oleh Jurunilai Hartanah Kerajaan iaitu Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta ke atas tanah seluas 103.6 ekar.
V. Berjaya dan/atau syarikat berkaitannya akan mengumpulkan dana bagi JVCo untuk membayar premium RM113.1 juta tersebut.
Syed Ali berkata, secara kesimpulannya, tuduhan palsu yang dibuat oleh Muhammad Sanusi jelas adalah sama sekali tidak berasas dan tanpa sebarang pengesahan mengenai kebenarannya.
Katanya, kenyataan-kenyataan ini dibuat secara melulu dan berniat jahat dan jelas bertujuan untuk mencemarkan reputasi Berjaya Land dan merosakkan komitmen mereka serta kerajaan negeri terhadap peningkatan Selangor dan rakyatnya.
"Saya juga ingin menambah bahawa kami sedang mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis dan mengambil langkah undang-undang untuk melindungi hak kami dalam hal ini," katanya.
Berjaya Land menggesa orang awam dan media untuk mengambil perhatian terhadap kedudukan fakta sebagaimana yang telah disahkan oleh penjelasan di atas dan untuk terus menyokong usaha-usaha sebenar Berjaya Land dan rakan usahasamanya dengan Kerajaan Selangor dalam memberikan sumbangan positif kepada usaha pihaknya dalam memulihkan Sungai Klang. - DagangNews.com








