Beri Anwar 10 tahun, rakyat Malaysia akan berbangga dengan negara – Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Beri Anwar 10 tahun, rakyat Malaysia akan berbangga dengan negara – Johari Ghani

Johari Abdul Ghani (dua dari kanan) dan Anwar Ibrahim di hari penamaan calon di Gombak baru-baru ini (Foto dari FB Johari Abdul Ghani)

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Naib Presiden UMNO, Datuk Johari Abdul Ghani berkata rakyat Malaysia perlu memberi tempoh 10 tahun kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperbaiki negara dan beliau berjanji mereka akan berbangga dengan negara kelak.

 

Beliau berkata 10 inisiatif Ekonomi Madani yang dibentangkan oleh Anwar pada Khamis lalu (27 Julai) akan berjaya.

 

"Apabila saya melihat hala tuju ekonomi yang dibentangkan oleh PM kita, saya melihat bahawa jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat kekal bersahabat untuk 10 tahun akan datang, saya percaya 10 inisiatif ekonomi pasti akan tercapai," kata Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut kepada Harakah Daily baru-baru ini.

 

 

Johari Abdul Ghani
Johari Abdul Ghani 

 

 

Khamis lalu, kerajaan menyasarkan Malaysia menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia dalam jangka masa sederhana. Menteri Kewangan memperkenalkan cadangannya sebagai Ekonomi Madani, sejajar dengan visi yang lebih luas Malaysia Madani.

 

Menurut Johari, sesebuah negara akan mencapai kejayaan melalui hala tuju dan perancangan yang baik dan ia akan tercapai sekiranya politik negara itu stabil.

 

Sejak Anwar menyandang jawatan PM, kerajaannya telah menghadapi beberapa gegaran ketidakstabilan dengan khabar angin bahawa 10 ahli parlimen UMNO telah bersedia untuk menjadi pembangkang.

 

Bagaimanapun, rancangan itu gagal menjadi kenyataan, mungkin disebabkan oleh tindakan mahkamah yang boleh diambil di bawah  undang-undang lompat parti.

 

 

Hari penamaan calon di Gombak baru-baru ini (Foto daripada FB Johari Abdul Ghani)
Hari penamaan calon di Gombak baru-baru ini (Foto dari FB Johari Abdul Ghani)

 

 

Sejak itu, negara telah melihat sedikit kestabilan. Bagaimanapun, dengan pilihan raya negeri menghampiri, terdapat kebimbangan bahawa kekalahan pakatan PH-BN berpotensi menjejas kestabilan kerajaan persekutuan.

 

Sekurang-kurangnya inilah yang diuar-uarkan oleh pembangkang Perikatan Nasional (PN) kepada umum.

 

Namun begitu, Johari membuat kenyataan yang ditujukan kepada PAS dengan berkata, “Ada sebuah negeri di utara tanah air yang penduduknya terpaksa mencari peluang pekerjaan di luar negeri.

 

"Mereka telah diberi peluang untuk mentadbir negeri selama lebih 30 tahun, tetapi apa yang berlaku kepada negeri tersebut?"

 

Tambahnya, PAS mengadu mereka telah ditindas oleh kerajaan pusat tetapi Selangor juga ‘ditindas’ oleh kerajaan apabila PH menang di negeri itu.

 

“Mereka kata kerajaan mereka berbeza dengan kerajaan pusat. Mereka ditindas oleh pusat. Saya bertanya kepada mereka, berapa penggal Selangor telah diuruskan oleh PH tetapi Selangor telah menjadi ekonomi terkuat dalam negara?” ujar beliau. - DagangNews.com