Berbekalkan RM10, bawa balik ayam, beras di jelajah AKM Kedah | DagangNews Skip to main content

Berbekalkan RM10, bawa balik ayam, beras di jelajah AKM Kedah

Program anjuran Mara Corporation itu berlangsung dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang sepanjang tiga hari Jelajah AKM di Kedah.
Oleh MOHAMAD IMAN

ALOR SETAR 3 Sept- Dengan hanya berbekalkan RM10, pengunjung boleh mendapatkan seekor ayam dan beras seberat lima kilogram pada jualan ‘Happy Hour’ bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman di sini.

 

Program anjuran Mara Corporation itu berlangsung dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang sepanjang tiga hari jelajah tersebut berlangsung.

 

Dalam pada itu, orang ramai dilihat beratur panjang sehingga lebih 100 meter untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dengan harga cukup murah itu.

 

Sebanyak 2,000 ekor ayam dan 2,000 kampit beras disediakan setiap hari sepanjang jelajah tersebut dan habis terjual tidak sampai satu jam.

 

 

AKM
ORANG ramai membanjiri pekarangan booth Mara Corporation di AKM Kedah yang menawarkan pembelian seekor ayam dan sekampit beras seberat lima kilogram dengan harga serendah RM10.

 

 

Pengurus Komunikasi Mara Liner, Muhamad Hasmadi Zainudin berkata, pihaknya sepatutnya memulakan sesi pertama jualan berkenaan pada pukul 11 pagi namun ia terpaksa diawalkan berikutan orang ramai telah beratur panjang bagi menunggu giliran.

 

“Memang sambutan diterima amat memberangsangkan daripada orang ramai yang menyerbu booth kami bagi mendapatkan pakej barangan keperluan ditawarkan ini dengan harga serendah RM10,” katanya.

 

Dalam pada itu, seorang warga emas, Khatijah Hassan, 62, dari Kubang Pasu berkata, dia bersama jirannya beratur awal di hadapan booth jualan berkenaan sejak pukul 9.30 pagi untuk membeli ayam dan beras yang ditawarkan itu.

 

Menurutnya, walaupun terpaksa beratur panjang, namun dia berpuas hati memandangkan dapat membeli barangan berkenaan dengan harga yang cukup berbaloi.

 

“Harga barangan yang dijual ini jauh lebih murah berbanding di kedai-kedai lain dan disebabkan itu kami sanggup beratur sejak awal pagi lagi,” katanya.

 

 

AKM

 

 

Seorang lagi pengunjung, Nurhashimah Md Ramli, 49, berkata, dia hadir bagi mendapatkan barangan berkenaan selepas diajak rakannya yang mengetahui mengenai jualan murah itu menerusi iklan di laman sosial.

 

Katanya, inisiatif diambil pihak penganjur bagi menawarkan ayam dan beras dengan harga murah ini amat bertepatan khususnya sewaktu harga barangan semakin naik sejak kebelakangan ini.

 

“Jualan seperti ini perlu diperbanyakkan lagi bagi membantu rakyat yang memerlukan mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga murah,” katanya. -DagangNews.com