Belanjawan 2024: SME Bank laksana inisiatif baharu bagi perkasa PMKS melalui peruntukan RM1.7 bilion | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2024: SME Bank laksana inisiatif baharu bagi perkasa PMKS melalui peruntukan RM1.7 bilion

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Okt - SME Bank terus melaksanakan mandatnya melalui peruntukan RM1.7 bilion daripada pengumuman Belanjawan 2024 baru-baru ini, untuk inisiatif baharu dan sedia ada yang terdiri daripada kemudahan pembiayaan dan program pembangunan kapasiti.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan mengharapkan dana khusus ini digunakan dengan cekap bagi mewujudkan impak perubahan yang ketara kepada landskap perusahaan mikro dan sederhana (PMKS). 

 

"Oleh itu, kementerian menggesa semua agensi berkaitan untuk bekerjasama bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan program pembangunan keupayaan untuk PMKS layak yang memenuhi kriteria program," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Aria Putera Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, yang akan membolehkan mereka mengukuhkan fokus untuk menyalurkan dana kepada usahawan PMKS yang layak. 

 

Katanya, pihaknya telah mengenal pasti tiga aspirasi iaitu transformasi teknologi Industry4WRD, pemerkasaan PMKS dalam industri halal, dan pengembangan eksport serantau. 

 

"Aspirasi ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang bertujuan untuk membangunkan kapasiti perindustrian Malaysia agar lebih berdaya tahan untuk jangka panjang dan mencapai pertumbuhan yang mampan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

SME Bank akan menawarkan rumusan pembiayaan untuk modal kerja dan pemerolehan aset kepada PMKS yang ingin mengadaptasi transformasi teknologi di bawah Industry4WRD. 

 

 

SME Bank
Datuk Dr Aria Putera Ismail

 

 

Inisiatif ini termasuk program pembinaan kapasiti yang tertumpu pada memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan kualiti khidmat pelanggan, usaha pemasaran dan jualan, serta memacu pertumbuhan secara strategik, dengan penekanan khusus kepada PMKS. 

 

Ia akan dicapai melalui peruntukan di bawah SME Technology Transformation Fund (RM400 juta) dan Dana Pemantapan Automasi (RM50 juta).

 

Selain tiu, Program Pembiayaan HalalBiz, disokong oleh peruntukan besar RM100 juta, mengukuhkan peranan penting SME Bank sebagai pemboleh bagi PMKS dalam industri halal. 

 

 

SME Bank

 

 

Bagi tahun 2023, KUSKOP memperuntukkan RM2.15 juta kepada anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) untuk menyediakan pakej komprehensif sokongan kewangan, khidmat nasihat strategik dan pembangunan kapasiti.

 

Dalam usaha untuk memupuk jaguh global dalam kalangan PKS Bumiputera, SME Bank turut menerima sejumlah RM3 juta untuk terus menawarkan pembangunan kapasiti usahawan melalui Business Export Programme (BEP).

 

 

SME Bank

 

 

SME Bank juga menerima pembiayaan tambahan untuk Pembiayaan Jaguh Serantau menjadikannya berjumlah RM300 juta untuk tujuan ini. - DagangNews.com