Belanjawan 2024: Kerajaan diminta fokus kepentingan rakyat, negeri kurang membangun - Ismail Sabri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Belanjawan 2024: Kerajaan diminta fokus kepentingan rakyat, negeri kurang membangun - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Integriti dan Tatakelola Kebangsaan 2023 anjuran Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) di Kota Kinabalu, Sabah pada 4 Oktober 2023.

KOTA KINABALU 5 Okt - Kerajaan diminta memberikan fokus kepada kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan negeri-negeri kurang membangun dalam Belanjawan 2024. 

 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua perkara tersebut amat penting bagi memastikan nasib rakyat terus terbela. 

 

"Saya harap Belanjawan 2024 memberikan fokus kepada kepentingan rakyat terutama rakyat miskin dan negeri-negeri yang memerlukan dana untuk pembangunan seperti Sabah dan Sarawak. 

 

"Kita ada isu sekolah daif...memang daif, boleh runtuh sesetengah sekolah itu, cikgu-cikgu yang mengajar tidak ada tempat tinggal terpaksa menyewa jauh. 

 

"Saya difahamkan di Sabah dan Sarawak juga, klinik desa tidak terurus dengan baik. Jadi, kita harap yang lebih banyak menyentuh rakyat dalam Belanjawan 2024," katanya. 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Integriti dan Tatakelola Kebangsaan 2023 anjuran Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) di sini, semalam. 

 

 

ismailsabri

 

 

Belanjawan 2024 akan dibentang di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober ini. - DagangNews.com