KUALA LUMPUR 24 Feb - Belanjawan 2023 memperuntukkan dana sebanyak RM388.1 bilion dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus manakala RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaras dasar fiskal mengembang, peruntukan pembangunan ditingkatkan kepada RM97 bilion ketimbang RM71.6 bilion tahun lalu.
Katanya, peningkatan ini adalah untuk menumpukan program membasmi kemiskinan, baik pulih prasarana awam dan kemudahan desa.
"Dengan pembaharuan tatacara perolehan kerajaan, akan dipastikan perbelanjaan tambahan ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat," katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
Peruntukan itu adalah meningkat berbanding RM372.3 bilion dalam Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini pada 7 Oktober lalu.
Menurut Anwar, pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat.
Beliau berkata, atas prinsip pertanggungjawaban, kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5% ketimbang 5.6% pada 2022.
"Kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2%," katanya. - DagangNews.com








