KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan memberi perhatian terhadap keselamatan golongan wanita dan kanak-kanak dan keperluan ibu yang bekerja.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes seksual, wanita dan kanak-kanak.
“Antaranya, sebuah pasukan khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat,” tambahnya.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.
Anwar berkata, kerajaan juga akan memenuhi keperluan kaum wanita terutamanya mereka yang terpaksa berhenti bekerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi.
“Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meminda aktanya bagi membolehkan pemberian geran bersamaan 80% daripada nilai gaji yang diinsurankan pekerja,” katanya.
Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun. - DagangNews.com








