KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan bersetuju menambah pendapatan boleh guna golongan pertengahan M40 dengan mengurangkan kadar cukai pendapatan individu sebanyak 2%.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan cukai itu bermula tahun ini dengan membabitkan antara lebih RM35,000 hingga RM100,000.
"Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.
"Sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga 2% membabitkan lebih RM100, 000 hingga RM1 juta,
"Namun, kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai yang lebih tinggi," katanya ketika pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.
Menteri Kewangan itu berkata, menerusi pendekatan itu, cukai bersih kerajaan berkurang sebanyak RM900 juta yang dimanfaatkan sepenuhnya rakyat, khususnya golongan M40. - DagangNews.com








