Bekas Ketua Pegawai Komersial DNB, Ahmad Taufek dilantik sebagai Pengarah TM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas Ketua Pegawai Komersial DNB, Ahmad Taufek dilantik sebagai Pengarah TM

Ahmad Taufek Omar
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Telekom Malaysia Bhd (TM) melantik bekas Ketua Pegawai Komersial Digital Nasional Bhd (DNB), Ahmad Taufek Omar sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutifnya berkuat kuasa 1 November 2023.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat telekomunikasi itu berkata, Ahmad Taufek, 55, mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri telekomunikasi dan IT, terutamanya dalam pembangunan perniagaan dan jualan.

 

Beliau juga bekerja dengan hampir semua syarikat telekomunikasi utama di Malaysia iaitu Maxis Communications Bhd, Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Bhd, Time dotCom Bhd, dan TM.

 

"Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kumpulan Sapura dan sebelum itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Komersial DNB.

 

"Beliau merupakan Naib Presiden Eksekutif TM One dari Ogos 2019 hingga Ogos 2021 yang diamanahkan untuk menerajui TM One sebagai pemboleh digital bersepadu sepenuhnya untuk perusahaan dan sektor awam.

 

"Selain berada dalam industri telekomunikasi, Ahmad Taufek juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pemasaran Digital dan Teknologi Maklumat QSR Brands Bhd dan Ketua Pegawai Rumusan Perusahaan dan Perniagaan PT Smartfren TBK di Indonesia," katanya. - DagangNews.com