KUALA LUMPUR 3 Nov - Beberapa laluan di sepanjang jajaran Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) ditutup sementara sempena penganjuran Anak Sarawak (AS) LLM DASH Penchala Link Tunnel Night Run pada 5 November 2022.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan, program tersebut merupakan anjuran Persatuan Sukarelawan Sarawak dengan kerjasama LLM, DASH dan SPRINT.
"Penutupan beberapa laluan bagi kedua-dua lebuh raya ini akan dilaksanakan secara berperingkat seawal 9 pagi pada 5 November 2022 sehingga 5 pagi pada 6 November 2022.
"Susulan penutupan beberapa laluan di Lebuhraya DASH dan SPRINT, pengguna disaran menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan untuk ke destinasi-destinasi tertentu.
"Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan membuat perancangan perjalanan terlebih dahulu," katanya dalam satu kenyataan hari ini. - DagangNews.com








