Bayaran tanpa tunai mampu tingkat produktiviti peniaga | DagangNews Skip to main content

Bayaran tanpa tunai mampu tingkat produktiviti peniaga

KUALA LUMPUR 24 Mac - Transaksi tanpa tunai mampu meningkatkan produktiviti dan sekali gus menyumbang kepada peningkatan jualan peniaga yang terlibat dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman (F&B) di negara ini.

 

Menurut Pengerusi Nexus Produktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman (RFBPN) Deric Yeo, penggunaan kaedah transaksi tanpa tunai yang melibatkan para peniaga kecil dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan pendigitalan perniagaan yang lebih menyeluruh.

 

“Usaha ini bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti dan daya saing perniagaan malah membantu memodenkan industri mikro, kecil, dan sederhana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Saranan ini disambut baik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim, Kedah (MPKK), Dr. Nadzman Mustaffa yang turut menggalakkan pelaksanaan bayaran tanpa tunai di bazar Ramadan mulai tahun ini ketika sesi Pendaftaran dan Undian Petak Niaga Bazar Ramadhan Tahun 2022 yang berlangsung di Dewan Bandaran Kulim baru-baru ini.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, galakan penggunaan transaksi tanpa tunai atau e-dompet di Kulim adalah selaras dengan inisiatif Kedah Produktif, Kedah Digital yang bertujuan meningkatkan pertumbuhan produktiviti Negeri melalui teknologi digital.

 

Katanya, pendigitalan dalam apa jua saiz perniagaan, sama ada mikro, kecil, sederhana, dan besar terbukti meningkatkan tahap produktiviti dan prestasi perniagaan.

 

“Bagi merealisasikan usaha ini, MPC melalui RFBPN dan Pejabat Wilayah Utara bekerjasama dengan PayNet dan MPKK bekerjasama untuk membantu para peniaga kecil di Kulim untuk menggunakan kaedah ini ketika bazar Ramadan yang akan tiba.

 

"Kaedah DuitNow QR kini ditawarkan oleh semua bank utama dan boleh digunakan dengan mudah oleh peniaga dan orang ramai melalui telefon bimbit,” jelasnya.

 

Menurut beliau, inisiatif ini akan diperluaskan kepada peniaga-peniaga di Pekan Rabu, Kedah dan Padang Besar, Perlis bagi meningkatkan penerimagunaan kaedah pembayaran tanpa tunai di Wilayah Utara.

 

Usaha kerjasama semua pihak dalam pendigitalan perniagaan di Negeri Kedah selaras dengan Teras 1 Pelan Pembangunan Kedah 2035 dengan intipati kemakmuran ekonomi.

 

Objektif utamanya adalah untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat melalui ekosistem perniagaan dan industri yang menyeluruh dan terangkum.

 

Kedah telah menunjukkan prestasi ekonomi yang amat memberangsangkan pada tahun 2021 dan menjadi negeri kedua tertinggi di Malaysia menerima pelaburan dengan nilai RM68.3 bilion. 

 

Ini mencerminkan keutuhan persekitaran perniagaan di negeri tersebut yang berjaya menarik minat pelabur domestik dan luar negara. - DagangNews.com