Batik Air perkenal laluan penerbangan baharu ke Istanbul mulai 9 Februari 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Batik Air perkenal laluan penerbangan baharu ke Istanbul mulai 9 Februari 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Nov - Batik Air mengumumkan satu lagi pengembangan rangkaian globalnya dengan permulaan laluan baharu ke Istanbul, Turkiye yang menawarkan pengembara peluang meneroka warisan sejarah Empayar Uthmaniyyah.

 

Mulai 9 Februari 2024, penerbangan terus baharu ini akan beroperasi empat kali seminggu dan berlepas pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad, dengan menawarkan akses mudah kepada pelancong ke bandar Istanbul melalui Lapangan Terbang Sabiha Gokcen (SAW).

 

Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkongsi pandangan tentang keputusan untuk memilih Lapangan Terbang Sabiha Gokcen (SAW) sebagai pintu masuk ke Istanbul.

 

"Lapangan Terbang Sabiha Gokcen dipilih dengan teliti sebagai pintu masuk yang sangat baik untuk menerokai Istanbul dan persekitarannya. 

 

"Lokasinya yang strategik memastikan akses mudah ke tarikan paling ikonik di bandar ini dan menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar untuk penumpang kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Tambah beliau, laluan baharu itu bertujuan untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengembara dan cara yang lebih mudah untuk meneroka keindahan dan keajaiban Istanbul. 

 

Katanya, laluan tersebut akan memupuk ikatan yang lebih kukuh antara Malaysia dan Turkiye, meningkatkan kedua-dua hubungan budaya dan ekonomi.

 

 

batik air

 

 

Bagi menandakan pelancaran laluan baharu itu, Batik Air memperkenalkan harga pengenalan untuk pengembara, bermula dari RM 1,999 untuk kelas ekonomi dan RM5,499 untuk kelas perniagaan untuk tambang perjalanan sehala.

 

Batik Air juga menawarkan pilihan makanan pra-beli dan elaun bagasi tambahan dengan kadar diskaun. Makanan dan minuman juga dijual di atas kapal dalam semua penerbangan Batik Air. - DagangNews.com