KUALA LUMPUR 3 Nov - Peneraju inovasi kopi terkemuka yang berinspirasikan beruang madu Malaya, Bask Bear menyasarkan pembukaan tujuh buah cawangan kiosk pandu lalu di Pulau Pinang, Kedah dan timur Malaysia menjelang akhir tahun ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, cawangan Bask Bear pertama yang mempunyai kiosk pandu lalu adalah dengan kerjasama Shell di Johor, dan sebuah lagi cawangan pandu lalu di Taman Daya DT di Johor Bahru.
"Kami akan terus memberi tumpuan melancarkan lebih banyak kiosk pandu lalu di sebanyak lokasi yang mungkin dan merancang mengakhiri tahun ini dengan tujuh buah kiosk pandu lalu.
"Itu merupakan rancangan semasa. Ada kemungkinan lebih banyak cawangan boleh ditubuhkan jika ditawarkan lokasi yang sesuai oleh rakan pembangunan kami seperti yang ditawarkan oleh GPO Melaka.
"Tanggungjawab kami dalam mengutamakan kemudahan pelanggan adalah teras perkembangan layanan kami bagi memudahkan lagi rakyat Malaysia menikmati minuman Bask Bear kegemaran mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, Bask Bear dengan kerjasama Pos Malaysia Bhd membuka cawangan kiosk pandu lalu di sebuah pejabat pos di GPO Melaka.
Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, pihaknya mengalu-alukan Bask Bear ke rangkaian Pos Malaysia sambil pihaknya mengembangkan lagi perkhidmatan sedia ada untuk memastikan terus berkhidmat kepada setiap pelanggan sekali gus kekal relevan untuk dua abad akan datang.

"Kami berhasrat untuk tampil berbeza melalui rumusan yang ditawarkan iaitu dengan menyediakan kemudahan yang terbaik, pengalaman pelanggan dalam maya yang menyeronokkan dan pelbagai produk untuk dipilih," katanya.
Pada September lalu, Bask Bear meraikan kejayaan membuka cawangan fizikal yang ke-100 termasuk dua cawangan utama Bask Bear Supreme.

Bask Bear kini mencapai 110 cawangan fizikal dan 120 cawangan maya - rangkaian tersebut kini berada di 230 cawangan secara keseluruhannya.

Sementara itu, Bask Bear menawarkan promosi eksklusif untuk pelanggan-pelanggan Pos Malaysia yang mana mereka boleh menikmati potongan harga 50% untuk minuman apabila mereka menunjukkan resit dari pejabat pos.
Promosi itu hanya sah sehingga 23 November 2023. Kakitangan Pos Malaysia juga akan menikmati potongan harga 15% selama tempoh pekerjaan mereka di Pos Malaysia. - DagangNews.com








