Bask Bear Coffee lancar kempen baharu ambil beruang madu Borneo sebagai haiwan angkat | DagangNews Skip to main content

Bask Bear Coffee lancar kempen baharu ambil beruang madu Borneo sebagai haiwan angkat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Beberapa minggu selepas mengambil seekor beruang madu Borneo yang ditinggalkan bernama Tenom sebagai haiwan angkat, Bask Bear Coffee kini melancarkan kempen baru untuk mengambil beruang kedua sebagai haiwan angkat.

 

Kempen ini menjemput rakyat Malaysia untuk menyertai dengan mengimbas kod DuitNow di cawangan Bask Bear Coffee yang terdapat di seluruh Sabah, serta memberikan sumbangan secara terus kepada Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sandakan.

 

Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, beliau berharap semua rakyat Malaysia menghargai dan membantu melindungi hidupan liar semula jadi yang merupakan sebahagian daripada warisan kebangsaan.

 

Beliau berkata, kerajaan negeri menghargai sumbangan sektor perniagaan dalam inisiatif pemuliharaan Jabatan Hidupan Liar Sabah.

 

"Kempen Sayangi Beruang Madu Bask Bear Coffee tidak hanya memberi manfaat kepada BSBCC, tetapi juga Jabatan Hidupan Liar Sabah, dalam menetapkan hala tuju tindakan yang realistik bagi pemulihan beruang madu. Selain itu, inisiatif ini juga adalah sejajar dengan visi kerajaan Negeri Sabah iaitu pelancongan berteraskan pemuliharaan," katanya.

 

Menurut Joniston, jumlah populasi beruang madu liar dianggarkan sebanyak 2,500 dan BSBCC melindungi 42 beruang madu, yang mana kebanyakan telah diselamatkan pihak penguatkuasa Jabatan Hidupan Liar Sabah daripada pemburu haram atau pemilik haiwan peliharaan yang tidak berdaftar.

 

Katanya, melihat kepada negeri Sabah yang menjadi lokasi perlindungan BSBCC - satu-satunya perkhidmatan atau kemudahan seumpamanya di dunia, cukup membuktikan betapa pentingnya menilai dan mengambil kira risiko kehilangan spesies ikonik.

 

 

bask bear
(Dari kiri) Timbalan Pengarah 1 Jabatan Hidupan Liar Sabah, Roland Oliver Niun, Datuk Joniston Bangkuai dan Bryan Loo ketika pelancaran Kempen Save Our Sun Bear Bask Bear Coffee di Bask Bear Aeropod, Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

 

 

"Mengambil beruang madu sebagai haiwan angkat akan menyumbang kepada usaha penyelidikan saintifik dan penjagaan komprehensif yang diperlukan demi kesejahteraan mereka," katanya.

 

Joniston menegaskan komitmen kementerian yang teguh dalam pemuliharaan populasi beruang madu di Sabah, dan menekankan bahawa kerajaan negeri telah menggolongkan beruang tersebut sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual 1 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah.

 

 

bask bear

 

 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, Bask Bear Coffee baru-baru ini menandatangani perjanjian penajaan dengan BSBCC yang mana ia telah mengambil Tenom yang berumur tiga bulan sebagai haiwan angkat selama setahun, sementara kakitangan pusat itu berusaha untuk merawat dan mempersiapkannya untuk pulang ke habitatnya di dalam hutan suatu hari nanti.

 

"Apabila kami membaca tentang penangkapan Tenom dan usaha penyelamatan beliau melalui media, kami merasa perlu untuk bertindak. Kami segera menghubungi BSBCC untuk memulakan langkah pertama.

 

"Pasukan Bask Bear Coffee tememutuskan bahawa kami akan menggunakan saluran dan pengaruh kami untuk menyebarkan mesej keprihatinan terhadap beruang madu ini, dan pada masa yang sama, mengumpulkan dana untuk mengambil beruang madu kedua di BSBCC sebagai haiwan angkat," katanya.

 

BACA JUGA: Bask Bear Coffee taja anak beruang madu borneo untuk penjagaan dan pemulihan selama setahun

 

Program pengambilan haiwan angkat yang ditawarkan oleh BSBCC melibatkan kakitangan mereka merawat beruang madu yang telah diselamatkan dengan tujuan mempersiapkan mereka untuk kembali ke habitat semula jadi di hutan. Setiap program pengambilan haiwan angkat ini memerlukan dana sebanyak RM7,200 setahun. - DagangNews.com