PUTRAJAYA 26 Dis - Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 diperluaskan kepada mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kata Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mangsa juga boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali semasa Monsun Timur Laut (MTL) dan bantuan kematian kepada waris mangsa dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Menurutnya, sehubungan dengan pengumuman oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini, kadar BWI ditingkatkan daripada RM500 kepada RM1,000 bag setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir.
''BWI RM1,000 tersebut diberi bukan sahaja kepada KIR di PPS tetapi juga diperluaskan kepada KIR yang tidak berpindah ke PPS;
''Bagi menyegerakan BWI kepada mangsa banjir, pada 24 Disember 2021, pihak NADMA telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM26.9 juta kepada semua negeri yang terjejas.
''Selaras dengan penambahbaikan BWI, MOF akan memastikan NADMA mendapat peruntukan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan sebenar,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata, peruntukan awal RM100 juta telah disediakan untuk usaha pemulihan pasca-banjir, termasuk pembersihan dan pembaikan kawasan perumahan dan infrastruktur awam.
Beliau berkata, bagi menyegerakan dan memudahcara pelaksanaan kerja pemulihan pasca banjir, MOF pada 21 Disember 2021 telah mengeluarkan garis panduan berhubung kelonggaran kaedah perolehan untuk kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam yang rosak akibat banjir.
Beliau berkata, penyediaan dana sebanyak RM100 juta di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) MyRinggit-i BANJIR: BSN menawarkan mangsa banjir pembiayaan sehingga RM10,000 (berbanding RM5,000 pada minggu lepas) pada kadar 0% dengan moratorium bayaran balik selama 6 bulan dan selanjutnya bayaran balik dalam tempoh sehingga 3.5 tahun. Pemohon boleh memohon mulai 27 Disember 2021 melalui https://www.bsn.com.my.
''Peningkatan dana dari RM200 juta ke RM500 juta bagi Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) oleh Bank Negara Malaysia. Kemudahan pinjaman ini akan disediakan melalui bank komersial untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) bagi membiayai penggantian peralatan yang rosak akibat banjir serta modal kerja.
''Pembiayaan sehingga RM500,000 akan disediakan untuk PKS; manakala usahawan mikro boleh meminjam sehingga RM75,000.
''Tempoh pembiayaan adalah sehingga 5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama 6 bulan. Kadar pembiayaan adalah hingga 3.5% setahun termasuk kos jaminan. Permohonan boleh dibuat melalui bank-bank komersial mulai 27 Disember 2021,'' ujar beliau.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan MOF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu mangsa banjir secepat mungkin. - DagangNews.com








