Bantuan secara one-off untuk anak yatim sebelum sesi persekolahan, universiti bermula - PM | DagangNews Skip to main content

Bantuan secara one-off untuk anak yatim sebelum sesi persekolahan, universiti bermula - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama penerima bantuan Yayasan Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Gambar FB Datuk Seri Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR 18 Mac - Kerajaan akan menyegerakan bantuan secara sekali gus atau 'one-off' kepada anak-anak yang menjadi yatim atau yatim piatu ekoran kematian ibu bapa atau seorang daripada mereka akibat COVID-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Perdana Menteri, berkata bantuan itu akan disalurkan sebelum sesi persekolahan dan pengajian di universiti bermula.

 

Beliau berkata, bantuan itu adalah lanjutan daripada siri bantuan yang sudah diberikan kerajaan sebelum ini, dalam usaha membantu meringankan beban mereka.

 

"Saya sudah beritahu Ketua Setiausaha Negara (KSN) tadi, kita tak tunggu untuk ke negeri-negeri. Kita akan bayar terus segala sumbangan untuk meringankan beban mereka, terutama sesi persekolahan yang akan bermula, sesi pengajian tinggi mungkin akan atau sedang bermula.

 

"Jadi mana-mana perlu mendapatkan bantuan daripada Yayasan Keluarga Malaysia, kita akan segera selesaikan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kasim.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bertanyakan sesuatu kepada penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia

 

 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, setakat ini ada kira-kira 1,600 anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa, atau kedua-duanya akibat COVID-19.

 

"Selain itu, ada juga anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat kes lain seperti kemalangan jalan raya dan sebagainya, juga akan menerima bantuan daripada Yayasan Keluarga Malaysia," katanya.

 

Katanya, bantuan secara 'one-off' itu antara lain bagi menampung kos pembelajaran serta pengajian sehingga ke peringkat universiti, menurut Berita Harian.

 

"Hari ini (kita beri kepada) 42 penerima. Sebelum ini kita sudah buat beberapa program penerima seperti waktu jelajah pra-pelancaran Keluarga Malaysia.

 

"Selepas ini, Program Jelajah Keluarga Malaysia ke negeri-negeri pun akan ada majlis penyampaian," katanya yang sebelum itu meluangkan masa melawa Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini, bagi menyantuni petugas media yang membuat liputan.

 

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk beramah mesra dengan petugas media sambil menasihatkan mereka agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang bertugas. - DagangNews.com