Bank Rakyat terbit Sukuk Wakalah RM1.5 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Rakyat terbit Sukuk Wakalah RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR 12 Mei - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menerbitkan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (IMTN) Sukuk Wakalah bernilai RM1.5 bilion melalui syarikat tujuan khas, Imtiaz Sukuk II Bhd.

 

Terbitan itu dilaksanakan menerusi proses penetapan harga pada 21 April 2022 di bawah program Sukuk Wakalah sehingga RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Bhd.

 

Dalam kenyataan hari ini, Bank Rakyat berkata, terbitan berkenaan merangkumi dwi-tranche iaitu RM700 juta untuk tempoh 5 tahun dan RM800 juta bagi tempoh 7 tahun yang diterbitkan pada 12 Mei.

 

"Hasil yang terkumpul daripada terbitan itu akan dimanfaatkan bagi tujuan keperluan modal kerja, perbelanjaan modal, pelaburan umum, menyediakan pembiayaan dan tujuan korporat am," katanya.

 

Bank Rakyat juga berjaya mengumpul permintaan yang baik bagi Sukuk Wakalah Senior dengan nisbah bida kepada perlindungan sebanyak 1.30 kali daripada jumlah akhir terbitan.

 

Ia telah melantik Maybank Investment Bank Bhd, RHB Investment Bank Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd dan CIMB Investment Bank Bhd sebagai pengurus utama bersama dan pengatur utama bagi program Sukuk Wakalah terbabit. - DagangNews.com