Bank Muamalat, Malakoff jalin kerjasama strategik dalam program perintis pembiayaan RE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Muamalat, Malakoff jalin kerjasama strategik dalam program perintis pembiayaan RE

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) jalin kerjasama strategik untuk program perintis yang menawarkan pembiayaan tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Kerjasama antara bank dengan syarikat pengeluar tenaga bebas dan pengurusan alam sekitar terbesar negara itu adalah untuk memperkasa inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan bersama hari ni, gandingan itu akan memberi tumpuan kepada program pembiayaan tenaga boleh diperbaharui (RE), khususnya sistem fotovoltaik solar, sistem penyimpanan tenaga bateri dan pengecas kenderaan elektrik untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan penyelesaian tenaga mampan.

 

Katanya, program ini akan menyediakan pembiayaan untuk perniagaan dan individu yang ingin mengguna pakai RE, membantu mengurangkan jejak karbon negara dan menyokong peralihan tenaga.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata bank tersebut merupakan perintis dalam penawaran pembiayaan eko hijau menerusi pelbagai penyelesaian inovatif seperti pembiayaan peribadi, gadai janji, kad kredit dan pembiayaan kereta yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan.

 

“Matlamat kami adalah menyediakan perkhidmatan kewangan terbaik dan menyokong perjalanan pelanggan ke arah kehidupan yang lebih baik,” katanya sambil menambah ia sejajar dengan komitmen #BetterLivesTogether bank itu.

 

Mengulas berkenaan kerjasama itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, “Melalui hubungan strategik ini, kami yakin ia bukan sahaja akan memdorong penggunaan tenaga bersih menjadi lebih mudah diakses dan berpatutan untuk perniagaan dan individu, malah juga menjadi pemangkin dalam menyemai kesedaran alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyumbang kepada pertumbuhan kehidupan mampan.”

 

Tambahnya, syarikat tersebut komited memperjuangkan peralihan negara ke arah sumber tenaga yang hijau selain mereka terus mengembangkan portfolio RE di samping menyediakan penyelesaian tenaga mampan, selaras dengan sasaran negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

Menurut kenyataan itu, kerjasama antara Bank Muamalat dan Malakoff merupakan langkah penting ke arah memacu cita-cita kemampanan negara sambil menyediakan penyelesaian pembiayaan yang inovatif untuk memajukan peralihan kepada tenaga hijau. -DagangNews.com