Bank Islam perkenal ciri baharu Kill Switch untuk lindungi pengguna daripada penipuan dalam talian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bank Islam perkenal ciri baharu Kill Switch untuk lindungi pengguna daripada penipuan dalam talian

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - Pelanggan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) kini boleh melindungi sendiri dana mereka daripada penipuan dalam talian dan menyahaktifkan sementara akses ke akaun perbankan internet dan aplikasi melalui ciri baharu ‘kill switch’.

 

BIMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, elemen keselamatan baharu itu juga menyekat dengan segera semua transaksi keluar kad debit-i Bank Islam pelanggan.

 

Katanya, pihaknya mengumumkan penyempurnaan pelaksanaan lima langkah utama untuk memerangi penipuan kewangan menerusi pelbagai platform transaksi perbankan dalam talian dan mudah alih dengan tiga peningkatan keselamatan baharu yang diperkenalkan hari ini.

 

"Pelaksanaan langkah keselamatan itu dibuat lebih awal daripada tarikh akhir 30 Jun 2023 yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) agar semua institusi kewangan mengambil tindakan untuk menangani peningkatan insiden penipuan berkaitan pembayaran yang berlaku di peringkat global dan domestik," katanya.

 

BIMB berkata, ciri Kill Switch tersedia pada kedua-dua aplikasi perbankan mudah alih dan Perbankan Internet Bank Islam (IB), boleh diakses dengan mengklik butang Kill Switch yang terletak pada halaman utama IB.

 

Katanya, sementara bagi pelanggan aplikasi mudah alih, mereka akan dibawa ke halaman utama Kill Switch menerusi laman pelayar peranti mereka sebaik sahaja butang Kill Switch diklik pada aplikasi GO atau GO Biz.

 

Menurut kenyataan itu, Bank Islam juga akan melaksanakan 'Cooling-off Period' atau Tempoh Bertenang iaitu tempoh menunggu selama 12 jam untuk sebarang permohonan atau permintaan baharu yang dibuat pada IB, GO dan GO Biz. 

 

"Ciri keselamatan tambahan itu juga disediakan bagi pendaftaran kali pertama IB, GO and GO Biz, pendaftaran semula akaun dan permintaan kata laluan terlupa, perubahan dalam had transaksi, pemautan akaun dan pengaktifan untuk pembelian dalam talian menggunakan Kad Debit-i Bank Islam.

 

"Ciri ini akan berkuat kuasa serta-merta sebaik sahaja pelanggan membuat permintaan baharu pada tetapan platform perbankan dalam talian atau mudah alih mereka," katanya.

 

Katanya, objektif utama kemudahan ini adalah untuk melindungi akaun pelanggan daripada individu yang cuba melakukan transaksi tanpa kebenaran. 

 

Tempoh bertenang ini memberikan masa tambahan kepada pelanggan untuk bertindak balas dengan sewajarnya apabila mereka menerima pemberitahuan segera atau e-mel mengenai pengubahsuaian yang dibuat pada akaun mereka.

 

Dalam pada itu, Bank Islam juga telah bertukar sepenuhnya kepada sistem pengesahan berasaskan aplikasi, GO Secure, untuk meluluskan transaksi yang dimulakan pada IB dan GO hari ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, pihak bank prihatin dengan cabaran emosi dan kewangan yang dihadapi pelanggan apabila mereka terkesan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab. 

 

"Kami akan terus memastikan saluran perbankan dan kaedah pembayaran Bank Islam kekal selamat dan dilengkapi dengan kawalan keselamatan terkini agar memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan," katanya.

 

Bank Islam telah merekodkan sebanyak 1.79 juta pengguna aktif perbankan internet dan kira-kira 1.4 juta pengguna GO by Bank Islam. - DagangNews.com