KUALA LUMPUR 28 Feb - Bank Islam Malaysia Berhad merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBZT) berjumlah RM746.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), meningkat sebanyak 6.1% berbanding tahun sebelumnya.
Pertumbuhan prestasi tahun ke tahun (YoY) ini didorong oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan peruntukan bersih yang lebih rendah untuk pembiayaan dan pendahuluan terjejas, diimbangi oleh jumlah kos operasi yang lebih tinggi.
Pengukuhan ketara dalam pendapatan bersih kumpulan adalah berikutan pendapatan berasaskan dana bersih yang meningkat sebanyak RM247.2 juta atau 13.5%, di mana sebahagian besar didorong oleh pertumbuhan pembiayaan YoY.
Bagaimanapun, ini telah diimbangi oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih rendah iaitu sebanyak RM126.2 juta susulan pendapatan pelaburan yang lebih rendah dan kerugian bersih yang lebih tinggi daripada urus niaga pertukaran asing dalam keadaan pasaran yang tidak menggalakkan sepanjang tahun.
Menurut kumpulan itu, peruntukan bersih kumpulan ke atas pembiayaan dan pendahuluan terjejas susut sebanyak RM50.7 juta atau 26.6% kepada RM140 juta berbanding tahun lepas.
Kumpulan itu juga mencadangkan dividen interim bernilai 3.40 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan kepada 13.8 sen sesaham dengan melibatkan nisbah pembayaran sebanyak 60% daripada keuntungan bersih.
Pada asas suku tahunan, Bank Islam telah mencatatkan peningkatan PBZT sebanyak 145.2% kepada RM187.3 juta untuk suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4Q2022) berbanding RM76.4 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sebahagian besar peningkatan tersebut disumbangkan oleh pengukuhan pendapatan bersih didorong pertumbuhan pembiayaan.
Pada akhir Disember 2022, jumlah aset kumpulan adalah sebanyak RM89.9 bilion dengan pertumbuhan YoY sebanyak 12.1% dan sejajar dengan aktiviti ekonomi yang bertambah baik, pembiayaan kasar meningkat 11.4% YoY kepada RM65.9 bilion.
Setakat 31 Disember 2021, Nisbah Jumlah Modal Kumpulan kekal kukuh pada 19.4%.

Mengulas berkenaan prospek kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kumpulan itu meneruskan usaha membina kekuatan terasnya memandangkan ekonomi semakin pulih.
Antara langkah yang diambil adalah menambah baik aplikasi perbankan mudah alih dan membina usaha sama strategik yang memberi manfaat kepada semua pihak terlibat.
"Bank Islam berusaha untuk menyediakan penyelesaian kewangan merentasi segmen melalui pengedaran Perbankan Runcit dan Perbankan Mewah Utama," katanya dalam kenyataan semalam.
Menyedari kewangan sosial sebagai pemboleh pembangunan sosioekonomi, Bank Islam terus mencipta impak sosial yang memberi kesan dengan menggunakan kedua-dua pembiayaan campuran dan model pencepat pendanaan dalam penawaran kewangan sosialnya.
Sehingga Disember 2022, Bank Islam telah mengeluarkan lebih RM10 juta pembiayaan mikro dan modal sumbangan untuk menyokong inisiatif dalam memupuk mereka yang berstatus unbanked (tidak menerima perkhidmatan perbankan) untuk menjadi bankable (diterima bank).
Mohd Muazzam menambah, melalui usaha ini, kumpulan berhasrat untuk menjadi bank terkemuka bagi agenda rangkuman kewangan dalam memenuhi matlamat syariah yang lebih tinggi dalam ekonomi dan memastikan pengagihan kekayaan yang berkesan dalam masyarakat. -DagangNews.com








