KUALA LUMPUR 6 April - Bank Islam Malaysia Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) bagi menyediakan penyelesaian kewangan untuk bakal jemaah haji.
Bank Islam dalam kenyataan memaklumkan, ia bagi jemaah haji yang ingin mengambil pakej haji melalui 22 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) lantikan Lembaga Tabung Haji yang juga merupakan ahli Bumitra.
Katanya, MoU ini bertujuan untuk melaksanakan kerjasama dan sesi perkongsian ilmu bagi mendidik pelanggan Bumitra mengenai penyelesaian kewangan yang disediakan oleh Bank Islam, terutamanya untuk haji dan umrah.
"Bidang kerjasama ini juga merangkumi usaha untuk membantu penyebaran maklumat mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
"Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah Kad Debit-i Bank Islam Visa Tabung Haji. Kad debit ini dilengkapi dengan pelbagai keistimewaan dan ganjaran eksklusif untuk para pemegang kad.
"Selain menawarkan rangkaian pembayaran dan akses tunai yang meluas di seluruh dunia, kad ini juga memudahkan urusan transaksi kewangan bagi jemaah haji ketika berada di Arab Saudi, ini termasuk tiada caj akan dikenakan bagi pengeluaran tunai pada musim haji," katanya.
Terdahulu, MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Runcit Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram dan Bumitra diwakili oleh Setiausaha Agung kehormatnya, AB Rahman Mohd Ali sambil disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed; Presiden Bumitra, Harun KC Ahmmu dan Pengarah Eksekutif Operasi, Jabatan Operasi Kumpulan TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab.

Pada majlis itu, Bank Islam turut melancarkan kempen ‘Once in a Lifetime’, khas kepada bakal haji atau waris terdekat yang ingin membantu ibu bapa untuk menunaikan haji dengan memohon pembiayaan peribadi ini dengan jumlah minimum sebanyak RM50,000.
Kempen yang berlangsung dari 24 Mac sehingga 31 Mei 2023 ini menawarkan peluang memenangi hadiah pakej umrah.
Penyediaan pakej pembiayaan peribadi ini memberi peluang kepada bakal haji yang berkemampuan dan berupaya untuk membayar balik pembiayaan secara berstruktur mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Mohd Muazzam berkata, memandangkan kos pakej haji kian meningkat disebabkan faktor luar kawalan, pembiayaan peribadi yang ditawarkan ini adalah tepat pada masanya untuk membolehkan lebih ramai lagi umat Islam yang berkemampuan menunaikan rukun Islam kelima.
“Sementara itu, peranan Bank Islam tidak hanya terhad sebagai hab penyelesaian kewangan bagi jemaah haji semata-mata tetapi akan diperluaskan dengan menyeluruh kepada lebih 600 syarikat pelancongan yang berdaftar di bawah Bumitra dan pelanggan-pelanggannya," katanya. - DagangNews.com








