KUALA LUMPUR 4 April - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memperluaskan program pendidikan pengurusan kewangan melibatkan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Program kerjasama rintis itu telah dijalankan sejak bermulanya pandemik COVID-19 untuk pelanggan individu dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan penganjuran lebih 60 sesi perkongsian ilmu yang disediakan kepada kakitangan di syarikat-syarikat panel Bank Islam.
Susulan maklum balas yang menggalakkan, Bank Islam dan AKPK bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama ini demi manfaat para pelanggan PKS Bank Islam.
Melalui program tersebut, wakil AKPK akan mendidik peserta tentang pengurusan kewangan yang baik melalui modul-modul yang dibangunkan bersama Bank Islam dan AKPK.
Antara topik yang terlibat adalah produk-produk atau perkhidmatan perbankan dan kewangan yang bersesuaian dengan keperluan peserta.
Tidak terhad pada syarikat-syarikat panel dan pelanggan PKS Bank Islam, program pendidikan pengurusan kewangan ini juga akan ditawarkan kepada peserta program pendidikan kewangan AKPK.
Perluasan program ini bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan dan memastikan wujudnya akses kewangan kepada segenap segmen pelanggan.

Secara tidak langsung, penyediaan modul pendidikan yang bersifat holistik dan praktikal ini akan memperkasakan pengetahuan dan keupayaan peserta program dalam membuat pertimbangan kewangan yang wajar.
Pemeteraian MoU kerjasama tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dalam satu majlis yang diadakan di sini, pada Jumaat lalu.
Mohd Muazzam berkata, Bank Islam sedang mengorak langkah untuk meningkatkan lagi peranannya sebagai penyedia produk dan perkhidmatan kewangan patuh syariah bagi memenuhi keperluan segenap segmen pasaran.
Beliau berkata, pihaknya berhasrat untuk memberikan khidmat nilai tambah melalui penyediaan khidmat rundingan dan perancang kewangan.
"Ia bertujuan untuk menyediakan modul bimbingan kewangan yang holistik dan praktikal serta membantu meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pengurusan kewangan kepada pelanggan individu dan PKS. Ilmu penting ini membolehkan mereka membuat keputusan kewangan yang lebih baik dan bermaklumat, khasnya dalam persekitaran semasa yang mencabar.
"Kami turut berharap kerjasama ini akan dapat memberi pencerahan berhubung penyelesaian kewangan yang ditawarkan oleh sektor perbankan di pasaran, seterusnya mencegah pelanggan dan peserta program daripada menjadi mangsa penipuan, jenayah siber atau agen-agen pinjaman yang tidak berdaftar,” katanya. - DagangNews.com








