KUALA LUMPUR 12 Mei - Bank-bank melaraskan kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas/pembiayaan asas (BLR/BFR) sejajar peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2% seperti diumumkan Bank Negara Malaysia semalam.
Dalam kenyataan, CIMB Bank Bhd. dan CIMB Islamic Bank Bhd. akan melaksanakan kenaikan 25 mata asas (bp) yang sepadan dalam BR dan Kadar Akaun-i Deposit Tetap/Pendapatan Pulangan Tetap.
"Begitu juga, semua kemudahan pembiayaan berdasarkan BLR dan BFR akan dinaikkan sebanyak 0.25%.
Semua perubahan kadar akan berkuat kuasa pada 18 Mei 2022," katanya.
Semalam, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada mesyuaratnya memutuskan untuk menaikkan OPR, yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 bp kepada 2%.
Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25% dan 1.75%. OPR sebelum ini berada pada paras 1.75% sejak 7 Julai 2020.
Pada masa sama, Maybank juga akan melaras naik BR dan BLR sebanyak 25 bp berkuat kuasa 13 Mei 2022, berikutan pengumuman kenaikan tersebut.
Menurutnya, BR Maybank akan lebih tinggi daripada 1.75% setahun kepada 2% setahun manakala BLR akan dilaras daripada 5.4% kepada 5.65%.
Begitu juga, Kadar Asas Islam dan Kadar Pembiayaan Asas masing-masing akan dinaikkan sebanyak 25 bp daripada 1.75% kepada 2% dan daripada 5.4% kepada 5.65%.
"Sejajar dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 13 Mei 2022," katanya.
Bank itu berkata, semakan terakhir dalam Kadar Asas Maybank adalah pada 9 Julai 2020 apabila ia dikurangkan daripada 2% setahun kepada 1.75% setahun berikutan penurunan OPR dengan kuantum yang sama
Sementara itu, RHB Banking Group turut melaras naik BR dan BLR/BFR sebanyak 25 bp berkuat kuasa 18 Mei 2022.
Ia menyaksikan RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd akan menaikkan kadar asas mereka daripada 2.5% kepada 2.75% setahun dan juga melaras naik BLR/BFR daripada 5.45% kepada 5.7% setahun.
“Sejajar dengan pelarasan itu, kadar deposit tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank juga akan dinaikkan berkuat kuasa pada tarikh yang sama,” katanya.
Alliance Bank Malaysia Bhd. turut menaikkan BR, BLR dan BFR sebanyak 25 bp berkuat kuasa 20 Mei 2022.
BR akan diselaraskan daripada 2.57% keapda 2.82% manakala BLR dan BFR daripada 5.42% kepada 5.76%.
"Semakan ini akan digunakan untuk semua pinjaman dan/atau pembiayaan sedia ada yang ditambat pada BR, BLR dan BFR.
"Selaras dengan semakan itu, kadar deposit tetap juga akan disemak ke atas pada tarikh kuat kuasa yang sama," katanya.
Bank itu juga menaikkan kadar fedah bagi Akaun Simpanan Asas, Akaun Simpanan Kanak-Kanak dan Akaun Simpanan Warga Emas untuk memanfaatkan segmen B40, kanak-kanak dan warga emas. - DagangNews.com








