Banjir: Jangan tidak endah kepentingan insurans rumah, kenderaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Banjir: Jangan tidak endah kepentingan insurans rumah, kenderaan

Damian Williams

 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Allianz Malaysia menyeru orang ramai supaya memiliki insurans khususnya bencana alam demi kepentingan dan perlindungan untuk mereka.

 

Ketua Tuntutan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Berhad, Damian Williams berkata, rata-rata daripada mangsa banjir tidak mempunyai perlindungan tambahan.

 

Jelasnya, situasi semakin parah kerana mereka mengalami kerugian disebabkan ribuan isi rumah terpaksa meninggalkan kediaman dan kenderaan yang terkesan akibat bencana tersebut.

 

"Kejadian banjir baru-baru ini mengejutkan rakyat Malaysia. Ramai tertanya-tanya adakah mereka memiliki insurans yang mencukupi untuk melindungi kerugian mereka? 

 

"Insurans merupakan perlindungan penting untuk masyarakat. Orang ramai perlu mendapatkan perlindungan berguna untuk mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Damian, tahun lalu hanya 11 peratus pelanggan Allianz memilih untuk menambah perlindungan peril khas dalam sebahagian daripada perlindungan komprehensif motor. 

 

Katanya, sehingga 29 Disember lepas, Allianz General menyediakan bantuan trak tunda kepada 1,393 kenderaan yang terjejas akibat banjir. 

 

"Hanya 68 kenderaan mempunyai perlindungan peril banjir sah untuk polisi motor mereka. Syarikat menerima 568 tuntutan daripada pemegang polisi individu dan 426 tuntutan pemegang polisi komersial," katanya.

 

Beliau berkata, insurans perlu dinilai sebagai pelaburan untuk aset-aset, kesihatan, rumah dan kenderaan mereka, tetapi malangnya orang ramai menilai dengan wang. 

 

"Mereka cuba berjimat dengan memilih polisi insurans yang lebih murah dengan tidak memilih manfaat tambahan untuk perlindungan seperti cermin hadapan atau insurans motor dan insurans kebakaran. 

 

"Ini bermakna anda akan kehilangan perlindungan yang anda perlukan apabila anda memerlukannya," katanya. - DagangNews.com