KUALA LUMPUR 15 Sept - Parlimen Bangsamoro Transition Authority (BTA) di Selatan Filipina menzahirkan penghargaan terhadap komitmen serta sokongan berterusan Kerajaan Malaysia dalam Proses Damai Mindanao.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkongsi dokumen penghargaan itu yang disampaikan melalui Resolusi Bo.318 daripada BTA, menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, proses damai ini harus berjaya bukan sahaja demi kemaslahatan Malaysia dan Filipina, malah seluruh rantau ini juga.
"Saya mengambil maklum mengenai satu Resolusi No.318 daripada BTA di Selatan Filipina yang merakamkan penghargaan mereka terhadap komitmen serta sokongan berterusan Kerajaan Malaysia dalam Proses Damai Mindanao.
"Seperti yang saya zahirkan sebelum ini, proses damai ini harus berjaya bukan sahaja demi kemaslahatan Malaysia dan Filipina, malah seluruh rantau ini juga.
"Malaysia akan terus menyokong usaha pimpinan Presiden, Marcos Jr. untuk memastikan proses damai di Mindanao mencapai objektifnya," katanya.

Menurut Anwar, Malaysia juga telah nyatakan kesudian untuk memberi bantuan pembinaan keupayaan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat Bangsamoro, yang mana ia akan dapat menyumbang kepada kejayaan tersebut. - DagangNews.com








