Bajet 2024: Bantu lebih banyak keluarga miliki rumah - Juwai IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bajet 2024: Bantu lebih banyak keluarga miliki rumah - Juwai IQI

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Okt - Bajet 2024 disaran merangkumi langkah untuk membantu rakyat dan mengukuhkan kelas pertengahan, terutamanya memberi tumpuan kepada kemampuan perumahan, kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.

 

Menzahirkan harapan agar Bajet 2024, yang bakal dibentang pada 13 Oktober ini, akan membantu lebih ramai keluarga mampu memiliki rumah, Ansari berkata keluarga yang tidak terjamin dalam rumah mereka boleh mengalami pelbagai kesan negatif, seperti kehilangan pendapatan dan menjejas pendidikan anak-anak.

 

Ansari berkata pemilikan rumah mampu milik membantu sesebuah keluarga mencapai tiga matlamat kestabilan kewangan, iaitu mengurangkan dan menstabilkan perbelanjaan bulanan, memberi peluang mengumpul simpanan dan menjamin tempat tinggal yang tetap.

 

Berkongsi langkah-langkah yang boleh menyokong pemilik rumah, Ansari berkata Bajet 2024 boleh mengandungi pelbagai langkah untuk membantu lebih ramai keluarga mencapai pemilikan rumah mampu milik.

 

“Cukai ke atas keluarga berpendapatan sederhana perlu dikurangkan agar mereka mempunyai lebih simpanan dan lebih mampu membeli rumah sendiri.

 

"Kerajaan juga boleh mengambil pendekatan yang lebih bersasar. Ia boleh menyediakan geran untuk pembeli rumah, memberi subsidi kadar faedah lebih rendah kepada mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana, serta mengurangkan cukai dan duti setem bagi pembelian atau gadai janji,” katanya.

 

 

Kashif Ansari
Kashif Ansari

 

 

Menurut Ansari, kempen pemilikan rumah (HOC) wajar dilaksanakan kembali memandangkan ia telah berjaya membantu keluarga lebih 100,000 keluarga menjimatkan berbilion ringgit dan memulakan usaha mereka mencapai ‘kemerdekaan kewangan’.

 

Sementara itu, Ansari berkata kerajaan perlu menangani peningkatan kos bahan pembinaan dengan menurunkan levi import agar perumahan lebih mampu milik.

 

"Apabila harga meningkat dengan cepat pada bahan asas untuk setiap perbelanjaan pembinaan, ia membawa kepada rumah baharu yang lebih mahal. Apabila harga simen dan rebar naik, rumah menjadi kurang mampu milik.

 

"Kerajaan mempunyai alat untuk mengurangkan kos input ini. Kebanyakan bahan adalah diimport atau bergantung kepada bahan atau komponen yang diimport. Dengan mengurangkan levi import, Bajet 2024 boleh menjadikan perumahan lebih mampu milik.

 

"Bajet 2024 boleh melakukan banyak perkara untuk membantu lebih ramai keluarga mencapai kemerdekaan kewangan melalui pemilikan mampu milik rumah mereka sendiri. Kami menyokong langkah ini dan mengharapkan masa depan yang lebih kaya untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com