KUALA LUMPUR 15 Feb - Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) menyeru kerajaan menyediakan peruntukan khas di dalam Bajet 2023 bagi kajian lanjut mewujudkan undang-undang khas dengan mewajibkan vape yang diluluskan oleh kerajaan sahaja boleh dijual para peniaga.
Presiden MASAC, Ahmad Lutfi Abdul Latiff berkata, kewujudan pelbagai jenama vape yang tidak melalui proses kelulusan secara sah telah menyebabkan adanya vape berperisa bahan terlarang seperti dadah, wujud di dalam pasaran.
Katanya, ia mengakibatkan lebih ramai penagih dadah mula menghisap dadah melalui penggunaan vape yang tidak berdaftar dengan kerajaan dan seterusnya beralih kepada jenis dadah yang lebih berbahaya di masa hadapan.
“Usaha mewujudkan perundangan khas menjual hanya vape yang berdaftar, mampu mengawal penggunaan bahan terlarang seperti dadah daripada meluaskan penggunaannya terutamanya kepada remaja dan seterusnya mampu meningkatkan hasil pendapatan kerajaan menerusi cukai vape yang berdaftar.
“Ia sebagai usaha mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih sihat dan selamat dari kesan negatif penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Lutfi berkata, MASAC mempunyai pengalaman hampir 10 tahun dalam isu penyalahgunaan dadah dengan memiliki pelbagai ahli gabungan yang mempunyai banyak kepakaran.
Selain itu katanya, pengalaman Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif MASAC yang terdiri daripada pelbagai golongan profesional turut bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam merangka dasar pengurusan pusat-pusat pemulihan swasta bagi penagih atau keluarga yang mendaftar secara sendiri.
"MASAC turut mengharapkan adanya dana disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan lebih banyak usaha sama bersama badan antarabangsa seperti Colombo Plan, World Health Organization dan lain-lain dalam usaha mempertingkatkan lagi kepakaran negara untuk menguruskan perihal penagihan dadah melalui partisipasi lebih besar daripada masyarakat madani NGO selain badan kerajaan sedia ada," katanya.
Tambahnya, MASAC turut mempelawa mana-mana NGO yang berminat untuk bersama MASAC sebagai ahli gabungan.
Kini terdapat 43 ahli gabungan dari 11 buah negeri bersama MASAC, termasuk Persatuan Pengasih Malaysia, Rumah Al-Hijrah, Pusat Pemulihan Dadah Dan Akhlak Darul Munawarah, Rumah Lindungan Kasih Darul Naim, Pertubuhan Rakan Sebaya Malaysia, Pertubuhan Pondok Inabah, Persatuan Klien Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (Komited).
Selain itu, termasuk Victory Life Training Centre, Solace Asia, Drug Free Malaysia, Life Zone Drug Rehabilitation Centre, Persatuan Kebajikan Bekas Penghuni Pemulihan Malaysia (Prokim), Persatuan Kebajikan Darul Islah Malaysia, Pusat Rawatan Darul Islah, Pusat Rawatan Pemulihan Dadah Bela Insan, Rumah Sahabat, Pondok Inabah Remaja 2 dan lain-lain. - DagangNews.com








