KUALA LUMPUR 20 Feb - Gemilang International Ltd berharap kerajaan dapat melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST), duti import dan duti eksais sifar kepada kenderaan elektrik (EV) serta pengecas elektrik dan peralatan serta perisian yang berkaitan pada pembentangan semula Bajet 2023 pada 24 Februari ini.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gemilang International, Pang Chong Yong berkata, harapan itu bagi menyokong industri bas negara dan peralihan industri tersebut ke arah mobiliti hijau.
Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak menggalakkan cukai dan bebas cukai ke atas bas yang dibina sepenuhnya kerana terdapat banyak pembuat badan bas di Malaysia yang boleh memasang bas elektrik.
"Oleh itu, ia adalah memadai apabila hanya casis bas elektrik dikenakan cukai dan dikecualikan duti. Ini adalah untuk melindungi industri pembuatan tempatan.
"Di samping itu, kami juga berharap kerajaan memperkenalkan elaun cukai korporat kepada pengusaha bas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut mencadangkan kerajaan untuk melanjutkan Insentif Teknologi Hijau yang meliputi Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE), selain meminta bank untuk menurunkan kadar faedah serta melaksanakan pelan ansuran lebih panjang untuk sewa beli EV.
Pang berkata, selain itu, pihaknya menyeru agar kerajaan menawarkan subsidi kepada bas sekolah yang lebih bersih, senyap dan selamat untuk kanak-kanak.

Katanya, selaras dengan komitmen kerajaan untuk membangunkan Industri EV, sebagai salah satu perintis industri EV, Gemilang ingin memainkan peranan dalam menyumbang idea untuk menjayakan agenda ini.

“Senarai hajat kami merupakan cadangan untuk pertimbangan kerajaan untuk dimasukkan ke dalam Bajet 2023 yang akan datang.
"Gemilang berharap kerajaan akan menerima pakai langkah-langkah ini untuk meringankan beban pengusaha bas tempatan dan akhirnya membantu ke arah pertumbuhan industri EV dan bas di Malaysia," katanya. - DagangNews.com








