Baiki peranti secara percuma di reruai K-KOMM pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Baiki peranti secara percuma di reruai K-KOMM pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Terengganu

KUALA NERUS 3 Jun - Pemeriksaan dan pembaikan peranti secara percuma antara tarikan di reruai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Terengganu, yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri di sini, sehingga esok.

 

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) K-KOMM, Mazlan Abd Mutalib berkata, orang ramai boleh membawa peranti bermasalah seperti pemacu pena untuk diperiksa atau dibaiki oleh petugas Cyber Security Malaysia di reruai berkenaan. 

 

Beliau berkata, reruai tersebut juga menyediakan kaunter aduan dan informasi terkini berhubung kementerian berkenaan di samping aktiviti menarik lain.

 

"Penganjuran AKM ini menjadi platform terbaik untuk rakyat mendapatkan maklumat secara terus berkaitan kementerian. 

 

"Jika terdapat sebarang aduan (misalnya) berhubung capaian internet, telekomunikasi dan sebagainya, boleh hadir ke reruai bagi mengajukan aduan kepada pihak kami," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

 

Selain itu, katanya agensi di bawah K-KOMM seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti uji bakat penyampai berita dan nyanyian bagi mencungkil bakat dalam kalangan rakyat Terengganu, Bernama melaporkan.

 

Mazlan juga berharap warga Terengganu tidak melepaskan peluang untuk mengenali dan memperoleh maklumat secara terus daripada kementerian lain, sekali gus menghayati konsep AKM. - DagangNews.com