Bahang PRU-15 'pancing' minat pelabur, HLIB naikkan penarafan Bursa Malaysia kepada 'beli' | DagangNews Skip to main content

Bahang PRU-15 'pancing' minat pelabur, HLIB naikkan penarafan Bursa Malaysia kepada 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Mac - Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang semakin terasa dijangka merangsang minat pelabur dalam pasaran saham tempatan sekali gus melonjakkan nilai purata dagangan harian (ADV).

 

Ini mendorong Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak naik penarafan saham Bursa Malaysia Bhd. kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) juga dinaikkan kepada RM7.27 daripada RM5.95.

 

Penganalisisnya, Jeremy Goh berkata, kemenangan majoriti dua pertiga oleh Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Johor minggu lalu semakin meningkatkan perbincangan mengenai PRU-15 lebih awal.

 

Katanya, buat masa ini terdapat memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan persekutuan dan pembangkang (Pakatan Harapan) untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum akhir Julai 2022, menjadikan separuh kedua ini sebagai garis masa yang mungkin jika pengundian awal diadakan.

 

"Berdasarkan 3 pilihan raya sebelum ini (2018, 2013, 2008), ia memberi kesan positif kepada ADV bagi tahun dan juga bulan pilihan raya, kecuali PRU-12 (2008) disebabkan krisis kewangan global. 

 

"Dengan detik-detik pilihan raya yang bakal berlaku, pelabur akan mula meletakkan 'pancing' mereka yang dijangka melonjakkan ADV," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

HLIB menilai trend ADV ketika 3 pilihan raya berkenaan kerana ia mencerminkan 'perubahan struktur politik' apabila BN tidak memperoleh majoriti dua pertiga. 

 

Ketika PRU-14 (9 Mei 2018), ADV melonjak 62.9% bulan ke bulan pada Mei 2018 dengan dagangan yang meningkat berikutan perubahan rejim. 

 

Di sebalik ADV 2017 mempunyai asas yang tinggi pada masa itu (RM2.31 bilion; +27.6% tahun ke tahun) – sebahagiannya disebabkan oleh jangkaan pengundian awal, ia bagaimanapun kekal sehingga 2018 (tahun pilihan raya) pada RM2.39 bilion (meningkat 3.4% tahun ke tahun).

 

Bagi PRU-13 pula, ADV meningkat 20.5% tahun ke tahun kepada RM1.92 bilion ketika tahun pilihan raya pada 2013 manakala bulan-bulan pula melonjak 59.8%. 

 

Bagaimanapun, PRU-12 (8 Mac 2008), ia sedikit berbeza kerana ADV tidak meningkat tahun ke tahun tetapi susut 45.8% kepada RM1.18 bilion disebabkan krisis kewangan global yang berlarutan sehingga 2009, malah, ADV bulan ke bulan juga susut 5.1% ketika bulan pilihan raya pada Mac.

 

"Sehubungan itu, kami menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing sebanyak 4.9% dan 3% selepas mengemas kini model kami untuk keluaran laporan tahunan terkini dan memperkenalkan pendapatan FY24," jelas Goh. 

 

Beliau bagaimanapun berkata, tidak secara eksplisit mengaitkan sebarang potensi kenaikan ADV daripada PRU-15 ke dalam ramalan yang dibuatnya.

 

"Sekiranya ini berlaku pada separuh kedua 2022, penurunan ADV pada FY22 sepatutnya kurang ketara (kami mengunjurkan RM2.48 bilion dengan penurunan 30% tahun ke tahun buat masa ini)," tambahnya. - DagangNews.com