Azwan Bro dilantik sebagai pengerusi HDC baharu berkuat kuasa serta-merta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Azwan Bro dilantik sebagai pengerusi HDC baharu berkuat kuasa serta-merta

Khairul Azwan Harun
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Mei - Halal Development Corporation Berhad (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan pelantikan Khairul Azwan Harun sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, berkuat kuasa serta-merta.

 

HDC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Azwan atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro akan memainkan peranan penting dalam memajukan agenda Halal Malaysia ke tahap lebih tinggi, dengan memberi tumpuan di arena antarabangsa yang lebih kukuh. 

 

Ini termasuk meningkatkan profil negara sebagai pengeluar dan pengeksport produk dan perkhidmatan halal terkemuka di dunia serta menjadi destinasi pilihan untuk perniagaan halal.

 

"Dengan pengalaman lebih dari 20 tahun dalam sektor korporat dan kerajaan, Azwan mempunyai rekod kepimpinan yang cemerlang. Portfolio beliau termasuk berkhidmat sebagai Senator di Dewan Negara dari 2016 hingga 2019. 

 

"Beliau juga berkhidmat dalam Jawatankuasa Kerja Pembaharuan Senat, inisiatif dwipartisan yang dilaksanakan untuk menambah baik dan mengukuhkan Dewan Negara ke arah institusi demokrasi dengan mekanisme semak dan imbang yang berwibawa," katanya.

 

Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) dan juga Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia.

 

Terkini, Azwan memegang jawatan Pengerusi Bebas VSolar Group Bhd dan mTouche Technology Bhd.

 

Beliau telah menghadiri kursus kepimpinan global di Harvard Kennedy School of Government, Amerika Syarikat dan memegang Ijazah Sarjana Pengurusan dari Universiti Terbuka Malaysia. 

 

Beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Cardiff University of Wales, United Kingdom dan berkhidmat dengan Ernst & Young Chartered Accountants sebagai Juruaudit dan Perunding Pemulihan Korporat. - DagangNews.com