Axiata rugi RM106.38 juta pada suku kedua akibat kadar tukaran asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Axiata rugi RM106.38 juta pada suku kedua akibat kadar tukaran asing

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Axiata Group Bhd. mencatatkan kerugian buat dua suku berturut-turut dengan kerugian bersih meningkat kepada RM106.38 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022.

 

Ia disebabkan kerugian pertukaran asing (forex) yang ketara disumbangkan menerusi operasi mudah alihnya di Sri Lanka.

 

Berbanding suku kedua tahun kewangan 2021, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM277.76 juta.

 

Syarikat telekomunikasi itu mengalami kerugian forex sebanyak RM475.7 juta pada suku kedua 2022, di mana RM370.5 juta adalah kerugian tidak direalisasi akibat pendedahan kepada pinjaman dan liabiliti dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS), menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagaimanapun, pendapatannya meningkat 4.9% kepada RM6.7 bilion pada suku berkenaan berbanding RM6.39 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya dipacu pertumbuhan pendapatan menerusi semua operasinya kecuali Sri Lanka.

 

Ini menjadikan kerugian bersih Axiata pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 berjumlah RM149.35 juta, berbanding untung bersih RM353.32 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Sebaliknya pendapatan bagi tempoh itu meningkat 5.8% kepada RM13.17 bilion daripada RM12.45 bilion.

 

Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, usaha kalis masa hadapan Axiata yang sedang dijalankan berada dalam landasan yang betul termasuk penggabungan Celcom-Digi, penyelesaian pengambilalihan Link Net dan pengembangan portfolio menara edotco.

 

Katanya, lembaga pengarah juga telah bekerjasama rapat dengan pasukan kepimpinan untuk mengemudi persekitaran semasa untuk menambat perniagaan kumpulan terhadap ketidaktentuan makroekonomi dan perkembangan industri.

 

"Mengenai 5G di Malaysia, kami semakin hampir untuk mempunyai penjajaran yang sama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam semangat membangunkan ekosistem yang mampan.

 

"Axiata berharap untuk memuktamadkan akses dan butiran komersial dengan Digital Nasional Bhd. (DNB) supaya pengguna dan perusahaan akan mendapat manfaat daripada penyelesaian generasi akan datang apabila negara mempercepatkan pendigitalan," katanya. - DagangNews.com