KUALA LUMPUR 6 Dis - Anak syarikat Axiata Group Bhd (Axiata) Indonesia, PT XL Axiata Tbk dan PT Link Net Tbk, mencapai persetujuan tidak terikat untuk memperkukuh kedudukan bagi mengoptimumkan peluang dalam pasaran jalur lebar tetap (FBB) dan konvergen mudah alih tetap (FMC) yang kurang ditembusi di Indonesia.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Axiata Group menjelaskan persetujuan tidak terikat itu merangkumi pemindahan perniagaan FBB milik Link Net, termasuk 750,000 pelanggannya, kepada XL Axiata.
Di samping itu, ia juga termasuk pelaksanaan tambahan dua juta kediaman baharu untuk dihubungkan oleh Link Net, membolehkan XL Axiata menawarkan perkhidmatan FBB dan FMC kepada pelanggannya yang semakin meningkat dan lebih ramai rakyat Indonesia.
"Setelah pelaksanaan tambahan dua juta kediaman berkenaan selesai, Link Net akan membolehkan hampir 6.5 juta akses kepada kediaman yang terhubung dengan rangkaian sebagai FibreCo borong terkemuka," katanya.
Menurut Axiata, kerjasama itu akan menyelaraskan akses kepada FBB berkualiti premium dan perkhidmatan konvergen kelas pertama, di mana rakyat Indonesia kini boleh mengalami pengalaman pelanggan yang diperkaya.
Selain itu, usaha bersama ini selaras dengan objektif kerajaan untuk mempromosikan pendigitalan dalam masyarakat, menyumbang kepada kemajuan teknologi negara dan transformasi digital.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Kumpulan Axiata, Vivek Sood berkata dalam tempoh dua tahun akan datang, Link Net akan membolehkan 6.5 juta akses kepada kediaman yang terhubung, di mana XL Axiata memanfaatkan 1 juta pelanggan sedia ada, dengan majoriti menerima tawaran tertumpu.

“Dengan keutamaan strategik jelas kami, Axiata akan memacu peningkatan prestasi dan mempercepatkan pertumbuhan yang menguntungkan di seluruh Indonesia dan jejak geografi kami yang lain untuk menyampaikan potensi penuh segmen telekomunikasi digital, perniagaan digital dan infrastruktur kami, disokong oleh peruntukan modal tertumpu,” tambahnya.
Menurut Axiata, XL Axiata dan Link Net akan meneruskan usaha untuk menyediakan satu perjanjian terikat bagi terma, yang akan dilaksanakan dengan mematuhi peraturan semasa termasuk Lembaga Perkhidmatan Kewangan yang berkaitan dengan urus niaga gabungan dan urus niaga material.
Perjanjian bersama itu menandakan satu pencapaian penting memandangkan Axiata semakin hampir untuk merealisasikan transformasi berstruktur strategik XL Axiata dan Link Net di Indonesia.
"Pembinaan sejumlah besar rumah baharu dihubungkan ke rangkaian Link Net akan menyokong XL Axiata menegaskan peranan pentingnya sebagai FibreCo terkemuka.
"Selain itu, pemindahan pelanggan Link Net kepada XL Axiata akan mengukuhkan kedudukan XL Axiata sebagai ServeCo yang terkemuka, memperkukuh aspirasi pertumbuhan tawaran FBB dan FMC di seluruh Indonesia," katanya. - DagangNews.com








