Auto Bavaria sediakan pengecas untuk kenderaan elektrik MINI di Gurney Plaza | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Auto Bavaria sediakan pengecas untuk kenderaan elektrik MINI di Gurney Plaza

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Kumpulan pengedar sah terbesar BMW dan MINI di Malaysia, Auto Bavaria memperkenalkan kemudahan pengecas kenderaan elektrik (EV) pertama untuk jenama MINI di pusat beli-belah Gurney Plaza, Pulau Pinang.

 

Terletak di tingkat enam pusat beli-belah itu, kemudahan pengecas tersebut menampilkan tiga unit MINI Gen 3 Wallbox yang mampu mengecas EV dan kenderaan hibrid sepenuhnya.

 

Ia juga menawarkan kuasa pengecasan berskala sehingga 22kW, dan pemilik kenderaan hanya perlu memasangkan penyambung kepada kenderaan atau 'plug-in' sepenuhnya untuk mula mengecas.

 

Pengarah Urusan Sime Darby Auto Bavaria, Vi Thim Juan berkata, pada 2022, MINI Electric menyumbang lebih 30% daripada model MINI yang dihantar oleh Auto Bavaria Pulau Pinang, menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk EV di negara ini.

 

Katanya, kemudahan baharu untuk mengecas kenderaan MINI di Gurney Plaza bertujuan untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk EV serta menawarkan lebih banyak akses kepada pengecas awam di negeri-negeri utara.

 

“Gurney Plaza ialah lokasi sesuai untuk kemudahan pengecas kami kerana ia adalah pusat beli-belah popular terletak di lokasi strategik di Pulau Pinang, menjadikan ia mudah untuk pemilik EV mengecas kenderaan mereka semasa keluar dan membeli-belah," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

mini

 

 

Pengurus Besar Pengurusan Mall CapitaLand Investment, Peter Chan berkata, pihaknya komited untuk mengendalikan pusat beli-belah dengan cara yang mampan. 

 

"Kami percaya penyediaan lebih banyak stesen pengecas adalah kunci kepada penggunaan EV yang lebih besar. 

 

 

mini

 

 

mini

 

 

"Ini kemudiannya akan membantu mengurangkan pelepasan karbon. Pada masa ini terdapat 4 stesen pengecas EV secara keseluruhan termasuk tiga dari MINI," katanya.

 

Tiga ruang pengecas baharu di Gurney Plaza Pulau Pinang kini dibuka kepada orang ramai. Waktu operasi adalah dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari. - DagangNews.com